Rakyat Melaka perlu bersatu demi Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Rakyat Melaka diminta untuk terus mengekalkan perpaduan, kestabilan dan menjaga kepentingan semua serta bersatu atas nama Malaysia.

Yang di- Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata usaha Malaysia dalam memupuk perpaduan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kita bertuah kerana negara kita terus aman, sejahtera dan harmoni. Keamanan kita kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang berkekalan jika tidak disertakan dengan daya usaha untuk mengekalkannya.

“Keunikan kita yang mempunyai masyarakat majmuk daripada pelbagai bangsa dan keturunan dijadikan aset untuk memacu kemajuan demi kemakmuran negara serta Negeri Melaka selama ini.

“Saya berharap rakyat Melaka terus berusaha untuk menjaga keharmonian antara kaum supaya Negeri Melaka terus berada dalam keadaan aman damai dan terus maju,” kata Tun Dr. Mohd Ali.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembukaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di- Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Istiadat di Seri Negeri, pagi ini.

Mengulas lanjut, Tun Dr. Mohd Ali berharap agar rakyat Melaka dapat menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum.

“Walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara, kita hendaklah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang akan merosakkan rasa muhibbah serta perpaduan sesama kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

219
Kongsi :
Previous post KSN dahului penerima Darjah Kebesaran Melaka
Next post Transfomasi pacu kemajuan Melaka ke suatu dimensi baharu
Ubah saiz-+=