Rakyat Melaka mahu Jualan Keluarga Malaysia diteruskan

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SUNGAI UDANG 12 Mac – Penduduk di negeri ini mahu kerajaan meneruskan Program Jualan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Dis tahun lalu, demi membantu meringankan keperitan hidup golongan berpendapatan rendah.

Mereka yang ditemui Melaka Hari Ini (MHI) menyifatkan penganjuran program itu sebagai usaha terbaik bagi membantu mereka yang terkesan ekoran kenaikan harga, selain dapat membantu menjimatkan perbelanjaan.

Seorang guru, Roslan Ibrahim, 35, ketika ditemui pada program itu di sebuah pasar raya dekat Sungai Udang berkata, harga ayam dan telur ayam ketika ini boleh dibeli pada harga munasabah sekali gus menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

“Mujur kerajaan perkenalkan program Jualan Keluarga Malaysia ini, beberapa barangan asas dapat dibeli pada harga murah.

“Cuma saya harap, janganlah program seperti ini diadakan mengikut musim tertentu sahaja misalnya jualan hujung tahun atau jika nak dekat pilihan raya baharulah ada program,” katanya.

 

Dia turut menyatakan keliru dengan tawaran harga bagi sesetengah barangan keperluan misalnya sempena program itu susu pekat dijual pada harga RM1.88.

Namun, katanya, apabila mahu membayar barang tersebut di kaunter, harga yang tertera pada mesin bayaran adalah harga asal barangan tersebut itu iaitu RM2.60.

“Bila ditanya tentang tawaran harga sempena program itu, petugas kaunter mengatakan susu pekat tidak termasuk pada potongan harga itu,” katanya.

Bagi suri rumah, Ramlah Saidin, 55, berharap agar program itu dapat diadakan setiap minggu berbanding dua kali sebulan agar ia dapat dinikmati secara menyeluruh oleh golongan kumpulan B40.

“Mak cik rasa tempoh waktu program juga sangat singkat mula 7 pagi hingga 12 tengah hari. Bayangkan kalau keluarga susah ini tinggal jauh di kampung dan ada masalah pengangkutan.

“Kalau tak boleh buat setiap minggu tetapi lanjutkan sedikit tempoh waktu program agar semua orang terutama mereka yang tinggal jauh boleh nikmati kemudahan sama,” ujarnya.

JUALAN Keluarga Malaysia di Bukit Beruang.

Sementara itu, tinjauan MHI di enam lokasi program Jualan Keluarga Malaysia mendapati sambutan agak baik terutama menjelang saat-saat akhir program berlangsung.

Lokasi tersebut ialah di Sungai Udang, Bukit Beruang, Taman Kota Laksamana, Merlimau, Pulau Sebang dan Masjid Tanah.

Antara barangan keperluan asas yang ditawarkan potongan harga antara lima hingga 15 peratus berbanding harga pasaran ialah telur ayam 30 biji gred C RM11.70 berbanding RM12.30 harga biasa, ayam seekor RM8.36 (RM9.30) manakala bawang Holand RM1.88 berbanding harga biasa RM2.90.

Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan di semua semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara melalui inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan (MOF).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1822
Kongsi :
Previous post Polis sahkan kes kematian di satu pusat mengundi di Muar
Next post Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah
Ubah saiz-+=