RAKYAT KUALA LINGGI PUJI INISIATIF W.R.U.R CETUSAN IDEA KETUA MENTERI
KUALA LINGGI 5 Januari – Inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf menjadi satu pembaharuan yang disambut baik masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Program berkonsepkan turun padang pemimpin bersama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang berlangsung selama dua minggu di setiap DUN itu diyakini dapat menyelesaikan segala permasalahan setempat, selain membantu merancakkan kemajuan di setiap kawasan.
Penduduk tempatan, Noorhayatuddin Mohd Harunnarrashid, 64, berkata, inisiatif berkenaan adalah antara perubahan terbaik dilakukan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri kerana rakyat tidak perlu bersusah-payah bertemu pemimpin, sebaliknya pemimpin sendiri datang bertemu rakyat.
Dia yang juga anak jati Kampung Permatang berkata, program tersebut wajar dijadikan contoh terbaik kepada negeri-negeri lain memandangkan ia merupakan sebuah agenda santunan mesra terhadap rakyat yang mahu suara mereka didengari.
“Kadang-kadang ada rakyat mahu membuat aduan, namun mereka tidak tahu saluran mana untuk mereka sampaikan. Tapi dengan W.R.U.R ini semua agensi dan jabatan dihimpunkan dan ia secara tidak langsung memudahkan rakyat dan dapat mempercepatkan penyelesaian sesuatu masalah.
“Sebagai contoh jika ada masalah berkaitan banjir atau saliran tersumbat, penduduk boleh berjumpa terus dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan jika ada masalah air, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga sedia membantu dan mempercepatkan segala aduan.
“Jadi, saya melihat sejak kepimpinan Ketua Menteri sekarang, banyak pembaharuan positif yang dilakukan bukan sahaja dalam memajukan negeri tetapi juga menunjukkan keprihatinan terhadap segala masalah rakyat,” katanya.
Dia yang juga pengusaha kafe dan pusat riadah sukan air ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi yang disempurnakan Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, di Denai Parit Besar @ Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.
Rohaya Ahmad, 49 yang juga penduduk tempatan Kuala Linggi turut memuji inisiatif W.R.U.R kerana ia dapat memudahkannya menyalurkan aduan, selain memohon bantuan daripada jabatan terlibat.
“Antara masalah setempat yang mahu saya bawakan adalah berkaitan masalah anjing liar di kawasan kampung yang menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk.
“Bagi saya, dengan program seperti ini, segala aduan dan permohonan bantuan lebih mudah dan diharap ia dapat menyegerakan segala permasalahan dan bantuan kepada rakyat memerlukan,” katanya.
Sementara itu, anak muda T. Vijaya Eswary, 19, pula berpandangan W.R.U.R menjadi medan terbaik untuk golongan belia menyampaikan suara dan hasrat mereka secara terus kepada Kerajaan Negeri.
Dia yang merupakan penuntut jurusan Diploma Kejururawatan di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) turut memuji pendekatan Kerajaan Negeri yang tidak melupakan setiap golongan yang ada di negeri ini.
“Saya memang menyarankan golongan belia untuk bersama melibatkan diri dalam program W.R.U.R ini kerana di sinilah mereka dapat menyampaikan aspirasi mereka kepada Kerajaan.
“Bukan itu sahaja, malah, menerusi inisiatif seperti ini, anak muda juga akan mendapat lebih pendedahan dan kefahaman mengenai dasar-dasar yang dibawa Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.