
Rakyat berebut vaksin selepas gelombang ke tiga
SERI NEGERI 23 Sept – Kepentingan vaksin mula disedari rakyat selepas negara menghadapi gelombang ketiga COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes setiap hari.
Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman (BN-Ayer Molek) berkata, kesedaran itu meningkat berbanding ketika awal program vaksinasi kebangsaan yang menghadapi masalah apabila ramai rakyat enggan menerima vaksin.
“Tapi bila berlaku kes jangkitan mendadak (COVID-19) di gelombang ketiga, dan banyak pula rasionalnya, tiba-tiba rakyat mula berebut untuk mendapatkan vaksin.
“Rakyat mula berebut untuk dapatkan vaksin (itu) juga jadi satu masalah kepada pengurusan kita kerana masing-masing nakkan vaksin awal sedangkan kita dah menetapkan fasa-fasa pemberian supaya tidak menyebabkan perebutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaaan lisan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka yang Ke-14 hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Yusof (BN- Ayer Limau) mengenai kaedah terbaharu dan kesan penggunaan vaksin dalam kalangan masyarakat bagi membantu menurunkan kes COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.