Sorting by

×

Rakyat bahagia negeri dipayungi

Masa Membaca:5 Minit, 27 Saat

Di pantai sana tumbuh berembang,
Tumpuan jelata mengail baung;
Tun laksana payung berkembang,
Tempat kita himpun bernaung.

BEGITULAH taat setia dan kasih sayang mendalam yang dilafazkan melalui pantun, sebagaimana dimadahkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka, kepada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Seyogia dirafakkan rasa syukur seraya mengangkat setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia, sempena hari jadinya yang ke-71. Syahdan, kesudiannya untuk menyempurnakan istiadat penganugerahan darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka, dikurniakan kepada mereka yang layak, banyak berjasa dan menyumbang kepada negeri serta negara.

Pasti sekali, seluruh rakyat Melaka menumpang bertuah dan bangga, tatkala dilantik Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada tanggal 5 Jun 2020 yang lalu.

Arakian, sejak itu, sekalian rakyat negeri, terasa bahagia dipayungi lalu mendoakan agar Tun Seri Setia dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira serta seisi keluarga, agar terus dikurniakan afiat dan maghfirah oleh Allah dalam memayungi bumi Melaka tercinta lagi bersejarah, demi kesejahteraan serta kemakmuran negeri juga daerah.

Sebagai tanda prihatin, dalam ucapan sempena hari jadinya yang ke-71 pada minggu lepas, Tun Seri Setia menasihati agar Kerajaan Negeri berusaha dengan lebih agresif lagi untuk menarik peluang-peluang pelaburan baharu, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Ini penting bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan.

Tun Seri Setia juga telah mengucapkan tahniah atas usaha kerajaan, dalam menetapkan hala tuju negeri melalui kerangka besar MELAKA RUMAHKU, yang terkandung di dalamnya visi dan misi baharu Melaka, pemboleh daya dan slogan, yang dilingkari dengan akar tunjang demi mencapai kecemerlangan duniawi serta ukhrawi. Ini termasuklah penyediaan dokumen besar hala tuju pembangunan Negeri Melaka yang inklusif, untuk tempoh 15 tahun mendatang sehingga 2035. Tun Seri Setia berpendapat bahawa, hala tuju pembangunan Negeri Melaka perlu diterima kerana ia mendokong aspirasi Sustainable Develepment Goal (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang selari dengan Dasar Persekutuan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama.

Tun Seri Setia menyambut baik langkah Kerajaan Negeri untuk mewujudkan satu koridor ekonomi baharu yang dinamakan sebagai Melaka Waterfront Economi Zone (M-WEZ) di kawasan tambak laut. Namun begitu, Tun Seri Setia mengingatkan supaya adanya keseimbangan pembangunan bagi masyarakat di luar bandar yang tidak harus dipinggirkan.

Sebagai sebuah negeri pelancongan, Tun Seri Setia menyarankan agar Kerajaan negeri menggandakan usaha dalam mempergiat aktiviti pelancongan, menaiktaraf produk pelancongan, kemudahan awam dan tahap keselamatan serta kebersihan, bagi menarik minat khususnya para pelancong domestik, dalam menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama.

Selain itu, Tun Seri Setia menyeru agar rakyat Melaka membudayakan norma baharu dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan bagi membantu pihak berkuasa, khususnya ‘frontliners’ dalam mengekang penularan COVID-19 yang kini kesnya semakin meningkat semula.

Manakala, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali pula telah menerima saranan Tun Seri Setia dengan begitu baik dan penuh hormat, lalu berikrar akan melipatgandakan usaha dalam memartabatkan Melaka menjadi negeri maju jaya, kehidupan rakyatnya sentosa, yang mampu menggamit dunia.

Beliau turut memaklumkan kepada Tun Seri Setia tentang lima perihal perkara terkini berhubung negeri Melaka iaitu prestasi ekonomi semasa, inisiatif pembangunan negeri, koridor baharu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), pelancongan dan hala tuju masa depan depan negeri dalam kerangka besar MELAKA RUMAHKU.

Sebenarnya Negeri Melaka telah mempunyai asas yang kukuh sejak dahulu lagi. Kerana itulah Ketua Menteri dalam ucapan taat setianya minggu lalu, secara spesifik telah menzahirkan terima kasih, memuji dan memberi penghargaan kepada para pimpinan Melaka terdahulu, khususnya di era kepemimpinan Tun Seri Setia menjadi Ketua Menteri Melaka.

Antara kejayaan besar yang telah dicapai pada ketika itu adalah, menerima pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia pada 7 Julai 2008 oleh World Heritage Committee (UNESCO) di Persidangan ke-32 di Quebec, Kanada. Tidak berhenti di situ, dua tahun kemudian, Melaka telah diisytihar sebagai negeri maju pada 20 Oktober 2010, yang diiktiraf oleh Organization for Economic Cooperation & Development (OECD).

Sebagai kesinambungan kepemimpinan cemerlang tersebut, bagi merancakkan lagi kemajuan berterusan negeri Melaka, kita menyambut baik ikhtiar yang bakal, sedang dan akan dilaksanakan oleh YAB Ketua Menteri Melaka masa kini, melalui beberapa inisiatif terbaharu seperti:

  • Membangunkan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ)
  • Menubuhkan Daerah Penuh Masjid Tanah
  • Stesen High Speed Rail (HSR) Melaka
  • Pendigitalan dan Bandar Pintar
  • Industri berteknologi tinggi
  • Kuala Linggi International Port
  • Pembinaan Infrastruktur Waste to Energy (WTE) di Sungai Udang

Pembangunan koridor baharu M-WEZ misalnya, bolehlah dianggap sebagai mercu tanda yang bakal menjadi game changer kepada ekonomi negeri Melaka, yang akan dibangunkan di kawasan tambak laut seluas 15,000 ekar sepanjang 22 kilometer, dari Umbai ke Tanjung Bruas.

Berhubung tentang penularan pandemik COVID-19 yang mengancam industri pelancongan di negeri ini, kita berasa sedikit lega dengan beberapa tindakan pantas kerajaan Melaka dalam merancakkan industri pelancongan khususnya kepada pelancong domestik, selain meluaskan capaian promosi destinasi Melaka dengan berkonsepkan digital.

Antara langkah tersebut dengan mewujudkan tagline baharu iaitu “Melaka safe haven”, “Melaka is the place to be” dan kempen “Dream Now Travel Later (DNTL)” dengan menggunakan platform digital iaitu, ‘Melaka Excess’. Ini bagi menggambarkan bahawa, secara realitinya, Melaka adalah sebuah negeri yang selamat (safe) dan bersih (hygene) untuk dikunjungi sebagai destinasi percutian pilihan.

Ditambah pula baru-baru ini, menurut laporan indeks Kebahagiaan, oleh MURNInets Kebangsaan, PLANMalaysia, KPKT telah merekodkan bahawa, dua bandar di negeri ini iaitu Bandaraya Melaka dan Jasin telah tersenarai dalam 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2019.

Malah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), bukan sahaja sudah mencapai status Bandar Bahagia, bahkan telah memperoleh status Bandar Paling Mampan di Malaysia.

Terbaharu lebih mengembirakan lagi, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah menerima pengiktirafan antara lima PBT terbaik di Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal (SDG), pembangunan Bandaraya Melaka.

Kesimpulannya, setinggi-tinggi syabas kepada tahniah kepada Tun Seri Setia sempena hari jadinya yang ke-71. Seluruh rakyat Melaka memohon setinggi doa dan kesejahteraan, moga-moga Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman serta seisi keluarga dikurniakan kemuliaan, keberkatan, keampunan dan kejayaan berterusan, daripada Allah SWT. InsyaAllah!

Sebagai menzahirkan tanda kasih dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia, maka disimpulkan dalam sebuah pantun Melayu,

Moleklah diturut resmi padi,
Semakin tunduk semakin berisi;
Semoga Tun Seri Setia sentiasa dirahmati,
Rakyat bahagia negeri dipayungi.

PENULIS, DATUK DR. SABRI MOHAMAD SHARIF merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak merangkap Penasihat Ekonomi dan Inovasi Kepada YAB Ketua Menteri Melaka.

 

Views:

662
Kongsi :
Previous post COVID-19: 1 kes baharu direkodkan di Bukit Katil
Next post Pencemaran akibatkan empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas
Ubah saiz-+=