
RAKAN MUDA RAMADAN TINGKAT POTENSI BELIA
BUKIT KATIL 16 Mac – Program Rakan Muda Ramadan menjadi platform pengisian aktiviti belia bermanfaat yang dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Adam Adli Abdul Halim berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyerlahkan potensi belia negara amnya.
“Rakan Muda bukan sekadar program sosial biasa tetapi ia adalah suatu program pembangunan sosial khusus untuk generasi muda menggabungkan aktiviti pembangunan minda, kecergasan fizikal dan pembangunan rohani secara bersepadu.
“Ini bagi mencapai matlamat melahirkan belia yang mempunyai ciri-ciri yang positif serta berupaya menyumbang secara produktif kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Program Rakan Muda Ramadan Negeri Melaka 2025/1446H di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya memberitahu, di Negeri Melaka, Program Rakan Muda Ramadan telah melibatkan penyertaan 115 peserta dari Daerah Melaka Tengah, Jasin 126 peserta dan Alor Gajah 188 peserta.
Antara aktiviti yang dipertandingkan pada Program Rakan Muda Ramadan di negeri ini adalah Pertandingan Hafazan al-Quran, Azan dan Bercerita.
“Saya percaya pertandingan sebegini dapat memberi mesej kepada golongan belia yang terlibat dari segi penghayatan dan Inspirasi kepada mereka untuk lebih berjaya.
“Justeru, saya percaya pertandingan sebegini adalah wadah terbaik bagi membangunkan belia yang lebih unggul dan cemerlang,” katanya.
Pada program tersebut, Adam Adli turut menyampaikan hadiah kepada pemenang setiap kategori yang dipertandingkan dalam Program Rakan Muda Ramadan Negeri Melaka.
Antara lain, beliau turut menyampaikan Sumbangan Ramadan kepada lebih 400 golongan yang memerlukan dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.