![Whatsapp Image 2025 02 07 At 6.05.08 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-07-at-6.05.08-PM.jpeg?v=1738923031)
RAKAN ARTIS KONGSI DUKA PEMERGIAN PAK LAN
LENDU 7 Februari – Perjalanan akhir pelakon veteran, Roslan Saleh atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lan turut diiringi beberapa rakan artis yang menyifatkan pemergiannya umpama kehilangan sebutir permata seni berharga.
Pelakon dan penyanyi, Zack Kool atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad, berkata meskipun wajah Pak Lan nampak ganas, namun pelakon veteran itu tidak pernah menunjukkan sikap sombong.
Katanya, sejak awal pembabitan dirinya dalam bidang seni dan mula mengenali arwah, Pak Lan sentiasa menitipkan kata-kata nasihat dengan cara berseloroh.
“Alhamdulillah, ketika saya berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), dapat berjasa dengan arwah dan kita kehilangan anak seni yang berkaliber dalam pentas seni, aktivitis teater serta pelakon yang baik.
“Seingat saya, arwah suka berseloroh dan sebenarnya pada masa sama dia memberikan nasihat, jadi tengok pada kita sama ada kita mahu ‘alert’, jika gelak sama kita jadi ‘tin kosong’ sahaja,” katanya.
Zack Kool antara 200 orang ahli keluarga dan kenalan rapat yang turut memberikan penghormatan terakhir terhadap jenazah Roslan yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
![Whatsapp Image 2025 02 07 At 6.05.08 Pm (1)](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-07-at-6.05.08-PM-1.jpeg)
Sementara itu, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali nama pentasnya sebagai Mak Jah berkata, dia mengenali Pak Lan lebih 30 tahun dan hubungan mereka berdua umpama adik-beradik selain rapat seperti keluarga.
“Perwatakannya ‘simple’ sahaja, cakap lembut dan tidak kasar malah di lokasi penggambaran kalau berlakon bersama jarang kecilkan hati orang dan mudah dibawa berbincang.
“Lebih 30 tahun mengenali arwah, dia panggil saya kakak dan kami selalu berbincang mengenai keluarga, anak-anak, ‘production’ malah sejak dia sakit, saya selalu jenguknya di Melaka.
“Apabila mengetahui kehilangannya, saya bersyukur kerana dia ‘pergi’ dalam keadaan yang baik, cuaca, tempat dan hari yang baik. Kalau ikutkan hendak begitu juga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.