Sorting by

×

Raja-raja Melayu berangkat untuk perbincangan khas di Istana Negara

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara hari ini bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Kenderaan rasmi dari Istana Johor antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 9.40 pagi dengan membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, diikuti konvoi kenderaan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada 10.21 pagi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pula berangkat tiba pada 10.29 pagi, disusuli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10.46 pagi, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pintu utama Istana Negara ditutup pada 11 pagi.

Perbincangan khas itu akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata Seri Paduka telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu di Istana Negara.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu susulan daripada sesi menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara semalam manakala sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara berasingan pula pada Selasa.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lepas berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

Pada PRU itu, PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), masing-masing menang satu kerusi.

Sementara itu, hari ini juga berlangsung proses penamaan calon bagi pilihan raya kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang yang diadakan serentak susulan kematian calon di kedua-dua kerusi berkenaan sebelum hari pengundian PRU15.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1859
Kongsi :
Previous post Pasca-PRU15: Istana Negara terus jadi tumpuan hari ini
Next post PRU15: Saingan enam penjuru di Parlimen Padang Serai
Ubah saiz-+=