
RAJA MUDA SELANGOR BERKENAN SANTUNI 31 ANAK YATIM
PANTAI KUNDOR 2 Mac – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyantuni penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj (RAYSAS) di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, hari ini.
Ketibaan Tengku Amir Shah, disambut Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) Tan Sri Mazlan Mansor serta pengurusan YIDE dan RAYSAS.
Pada majlis itu Tengku Amir Shah, berkenan menyerahkan sumbangan tunai RM9,300 yang akan diagihkan kepada 31 anak-anak yatim di pusat itu selain turut mengurniakan 100 kilogram beras dan 31 set kain pelekat.
Turut hadir bersama Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Orang Besar Istana Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah dan Tengku Saifan Rafhan Putra Tengku Datuk Setia Putra Al Haj.
Yang turut hadir Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr. Ahmad Shahir Makhtar; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan lain-lain jemputan.
Sementara itu Mazlan berkata sumbangan itu diharap dapat membantu anak-anak yatim tersebut membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan memberi kegembiraan kepada mereka.
“YIDE komited memastikan kebajikan anak-anak yatim terus terpelihara, menjadi kewajipan YIDE untuk membantu anak-anak yatim ini.
“Inisiatif ini sebagai manifestasi keprihatinan YIDE dalam memastikan kesejahteraan dan keperluan anak-anak yatim terus terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut di RAYSAS.
Menurutnya tahun ini YIDE memperuntukkan sejumlah RM1.95 juta sumbangan Aidilfitri bagi menyantuni seramai 13,000 anak-anak yatim di seluruh Negeri Selangor.
“YIDE komited dalam menyokong anak-anak yatim khususnya di Negeri Selangor melalui pelbagai program pembangunan dan kebajikan.
“Masyarakat juga digalakkan untuk bersama menyumbang bagi memastikan kesinambungan usaha murni ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.