RAIKAN KETIBAAN PENUMPANG SCOOT DAN GENTING DREAMS CRUISE
AYER KEROH 15 Oktober – Ketibaan kumpulan pertama penumpang pesawat syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines (Scoot) dan pelancong kapal persiaran mewah Genting Dreams Cruise akan disambut dengan penuh kemeriahan sebagai tanda penghargaan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, mengikut jadual penerbangan Scoot membawa 160 penumpang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam pada 23 Oktober ini.
Abdul Razak berkata, sementara itu Genting Dreams Cruise membawa pelancong dari jalan laut pula dijangka berlabuh di perairan Melaka pada 11 November nanti.
“Alhamdulillah Negeri Melaka selepas ini akan terus menerima pelancong luar menerusi laluan udara dan laut, berikutan itu ketibaan penumpang akan disambut dengan meriah.
“Penumpang Genting Dreams Cruise dijangka akan mendarat pada jam 10 pagi dan kapal persiaran mewah itu mengikut perancangan akan berlabuh bermula 10 pagi hingga 8 malam pada tarikh berkenaan,” katanya pada sidang media International Cultural and Arts Festival@Sungai Melaka (ICAF) 2024 di Kota Cemerlang di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron.
Sebelum ini media melaporkan Scoot akan melakukan penerbangan lima kali seminggu ke Melaka dan tempahan tiket sehala adalah serendah RM224 termasuk cukai boleh dibuat bermula 6 Ogos.
Manakala, Genting Dreams Cruise akan berlabuh di Melaka setiap Isnin selama 52 minggu dengan tempoh 12 jam masa persinggahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.