Sorting by

×

Rai tamat SPM ‘di balai’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MELAKA 4 Mac. – Tindakan berani sekumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kononnya mahu meraikan tamatnya peperiksaaan itu dengan menunggang motosikal dengan laju dan melakukan beberapa aksi berbahaya nyata mengundang padah.

Semua mereka ditahan dalam Ops Khas Pengubahsuaian Ekzos dan Pemantauan Calon SPM Di Jalanan Dataran Klebang dan Pantai Puteri, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam operasi selama kira- kira lima jam yang berakhir 8 malam itu seramai 63 pelajar ditahan.

SEBAHAGIAN calon SPM yang ditahan dalam Op Khas Pengubahsuaian Ekzos dan Pemantauan Calon SPM Di Jalanan Dataran Klebang dan Pantai Puteri, semalam.

Beliau berkata, operasi khas ini dijalankan bagi mengelakkan mereka melakukan aksi samseng jalanan sebagai tanda ‘kebebasan’.

“Pada tahun sebelumnya aksi seperti ini pernah berlaku dan menjadi tular jadi untuk kali ini kita ambil langkah pencegahan.

“Dalam operasi di dua lokasi sasaran itu kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas 53 motosikal membabitkan 63 pelajar termasuk pelajar perempuan,” katanya.

Menurut beliau, hasilnya pemeriksaan sebanyak 92 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan trafik yang dikesan.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah membabitkan tidak memapar L/P dengan 21 saman, diikuti aksesori tidak sempurna (17) serta ubah suai ekzos dan penunggang bawah 17 tahun (6).

“Antara kesalahan lain yang dikesan adalah tiada nombor pendaftaran, tidak memakai topi keledar, tiada lesen, nombor plat tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’ serta tiada perlindungan insurans,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, selain saman yang dikeluarkan sebanyak 14 motosikal turut disita.

“Penunggang yang dibawah umur pula, ibu bapa mereka diminta hadir ke balai polis untuk menjamin mereka,” katanya.

Caption
1: POLIS trafik mengeluarkan saman kepada calon SPM yang ditahan
2: CALON SPM yang ditahan diiring polis

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post Setahun PN Melaka: Kekal fokus misi ‘Menuju Negeri Lestari’
Next post Melaka cadang bangunkan kelong memancing
Ubah saiz-+=