Ragbi: Cabaran besar menanti skuad Rimau 7s

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 13 Mei — Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) negara bakal berhadapan cabaran besar, sekiranya Ragbi Asia meneruskan kejohanan Siri Tujuh Sebelah Asia seperti yang dijadualkan pada Ogos ini.

Skuad Rimau 7s, yang layak ke Divisyen Utama 7s Asia 2020 itu selepas muncul Juara Trofi Asia 7s pada Ogos tahun lepas, bakal berentap menentang pasukan handalan rantau ini seperti juara enam kali, Jepun; juara tiga kali, Korea Selatan dan Hong Kong.

Bagaimanapun, skuad 7s berisiko tinggi untuk disingkirkan semula ke divisyen bawah jika menamatkan saingan di tempat terakhir daripada lapan pasukan bertanding, disebabkan tidak dapat berlatih secara berpasukan sejak dua bulan lepas sebagai langkah pencegahan COVID-19 dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jurulatih Skuad Rimau 7s, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor berkata anak buahnya menjalani latihan secara dalam talian semasa PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac, namun ia tidak sama dengan latihan melibatkan skil dan teknik secara berpasukan.

Mohd Saizul berkata oleh kerana kebanyakan pemain yang dipilih ke program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) pada kali ini merupakan pemain muda yang berusia antara 18 hingga 22 tahun, mereka memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

Beliau berkata antara cabaran utama kepada pemain adalah untuk kembali ke prestasi asal kerana latihan secara dalam talian tidak sama dengan latihan sebenar dan secara bersama pasukan.

Ini akan memakan masa untuk mereka mendapatkan rentak atau adaptasi corak perlawanan secara berpasukan nanti sementara latihan di rumah akan diteruskan sehingga PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ditamatkan, katanya.

“Kami berharap kerajaan dapat memberikan kelulusan untuk memulakan latihan secepat mungkin, supaya pemain dapat bersedia untuk kejohanan ini.

Kita tidak dapat kenal pasti tahap kecergasaan mereka. Harap fokus pemain selepas PKPB adalah untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan dan mencapai prestasi maksimum mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Siri Tujuh Sebelah Asia dijadualkan bermula di Incheon, Korea Selatan pada 29-30 Ogos, diikuti Huizhou, China (12-13 Sept) dan Colombo, Sri Lanka (26-27 Sept).

Mohd Saizul, yang mengakui bahawa ragbi sebagai sukan kontak dan mempunyai risiko penularan COVID-19 pada masa ini, berkata pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada MSN, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Berkemungkinan besar kita akan memulakan latihan tanpa melibatkan sentuhan, seperti latihan berintensiti tinggi dan skil individu. Contohnya latihan menangkap, hantaran dan menyepak bola kerana sudah lama pemain tidak sentuh bola,” katanya.

Skuad Rimau 7s adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, manakala pada edisi 2015 di Singapura dan 2019 di Filipina, skuad negara pulang dengan pingat perak.

— BERNAMA

Views:

958
Kongsi :
Previous post Universal Robots’ urges SMEs to adopt robotic automation
Next post Suami, isteri sarat mengandung maut dirempuh
Ubah saiz-+=