Radhi OAG mengaku tak bersalah cederakan isteri
Radhi, 45, yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurta berwarna biru gelap, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira Ayu Zahiri, 28, di tempat parkir sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini, pada 2.29 petang, 19 April lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Peguam Haziq Aizuddin Subhi, yang mewakili Radhi memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Nilai RM7,000 terlalu tinggi untuk bayaran ikat jamin memandangkan anak guam saya menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Mohon satu jaminan yang rendah dapat diberikan kepadanya,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Semalam, media melaporkan penyanyi sebuah kumpulan terkenal tanah air direman selama dua hari selepas ditahan di kediamannya di Kota Damansara bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul bekas isterinya hanya kerana enggan bergambar di kawasan parkir di sebuah kediaman di Kota Damansara.
Pada Julai 2019, Radhi dan Nur Shahira Ayu yang dikurniakan sepasang cahaya mata berusia tujuh dan enam tahun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.