Putrajaya bincang ‘lockdown’ esok
KOTA BHARU 20 Mei – Cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ di seluruh negara akan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di Putrajaya esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat tersebut dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua-ketua menteri dan menteri besar.
“Itu antara langkah-langkah yang perlu difikirkan pihak berkuasa khususnya MKN kerana itu sahaja pilihan yang ada. Selama ini, kita telah melaksanakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebagainya sama ada secara keseluruhan atau bersasar.
“Untuk itu, ‘lockdown’ mungkin akan dibincangkan dalam mesyuarat esok (Jumaat) melibatkan kehadiran perdana menteri dan semua menteri-menteri yang terlibat,” katanya kepada pemberita seperti dilaporkan portal Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Diminta mengulas mengenai jumlah jangkitan virus tersebut yang semakin membimbangkan terutamanya sejak Ramadan lalu, Takiyuddin berkata, kerajaan juga sedang berusaha sedaya upaya merancakkan kesedaran masyarakat untuk mengambil vaksin melalui program yang telah dilaksanakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.