Sorting by

×

PUTRA SPECIALIST HOSPITAL, IJN JALIN KERJASAMA PERKUKUH PERKHIDMATAN KESIHATAN

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 12 Disember – Putra Specialist Hospital menjadi hospital swasta pertama di Melaka yang menjalinkan hubungan strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN) Holdings Sdn. Bhd. dalam memfokuskan Penyediaan Perkhidmatan Kardiologi dan Pembedahan Kardiotorasik di Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama strategik yang berpotensi besar itu akan dapat mengukuhkan lagi peranan Putra Specialist Hospital dan IJN sebagai hospital rujukan utama khususnya kepada pesakit dari Wilayah Selatan Malaysia dan Kepulauan Riau, Indonesia.

Katanya, menerusi jalinan kerjasama strategik itu juga ia akan meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan kemudahan dari segi kos serta pengangkutan.

“Dengan jalinan kerjasama ini pesakit tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk pemeriksaan awal sebaliknya hanya ke Putra Specialist Hospital bagi saringan pemeriksaan malah lokasi Melaka yang terletak di tengah-tengah antara Negeri Sembilan dan Johor memudahkan pesakit.

“Ini juga adalah langkah pertama IJN untuk menembusi pasaran yang ada di Melaka yang mempunyai potensi besar bagi menjangkau pasaran sebelah selatan termasuk Riau dan Sumatera malah kita juga sudah menerima pesakit atau pelanggan dari Pulau Batam.

“Selain itu, ia dapat mempromosi perkhidmatan Kardiologi dan Pembedahan Kardiotorastik yang bakal wujud di Melaka dan saya juga yakin ia secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan negeri untuk menjadi destinasi utama dalam sektor pelancongan perubatan (medical tourism),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Strategik Antara Putra Specialist Hospital Dan IJN Holdings Sdn. Bhd. Dalam Penyediaan Perkhidmatan Kardiologi Dan Pembedahan Kardiotorasik Di Negeri Melaka, di Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Timbalannya, Siti Faizah Abdul Azis.

Turut serta, Pengerusi IJN Holdings Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib.

Menurut Ab Rauf, kerjasama strategik yang dijalinkan itu sudah pasti akan memberikan banyak manfaat khususnya kepada Negeri Melaka.

“Kerjasama ini juga tentunya bakal merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan kesihatan Melaka sebagai pilihan utama masyarakat termasuklah dari negara jiran di Kepulauan Riau, Indonesia.

Sementara itu, Dr. Chaw Min berkata, ini adalah usaha IJN Holdings bersama kerajaan negeri menerusi Putra Specialist Holdings dalam memberi perkhidmatan kepakaran dalam bidang jantung

“Di IJN kita mempunyai ramai pakar yang dapat memberi perkhidmatan terbaik dan kita bawakan mereka untuk berkhidmat di luar malah kita akan meneruskan jalinan kerjasama ini,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama strategik itu antara Mohamed Ezani dan Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Mohd Zahiruddin Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post SESI TOWNHALL HOTSPOT BANJIR AKAN DIADAKAN DI SETIAP PARLIMEN
Next post 4 PBT MELAKA CAPAI STATUS MAMPAN
Ubah saiz-+=