PUSPANITA Melaka khatam al-Quran 15 malam terakhir Ramadan
AYER KEROH 30 April. – Seramai 150 ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Melaka berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran pada 15 malam terakhir Ramadan tahun ini.
Pengerusi Biro Agama & Kebajikan PUSPANITA Norhafizah Ibrahim berkata, semua peserta menyelesaikan bacaan dalam masa dua jam setengah dipimpin Imam 1 Masjid Al-Alami MITC, Ustaz Mohd Hidhir Hamidon.
“Biarpun sebelum ini hanya dilaksanakan secara dalam talian, namun usaha itu diteruskan dengan menganjurkan Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka Tahun 2021 kali ini.
“Namun kehadiran terhad bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya pada majlis itu semalam.
Katanya, sepanjang Ramadan ini PUSPANITA Melaka juga menyampaikan sumbangan Hari Raya di peringkat PUSPANITA Cawangan Daerah.
“Setiap kali Ramadan kita akan salurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan dan duit raya kepada 20 penerima membabitkan anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan di setiap daerah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.