Sorting by

×

PUSINGAN ‘U’ BERTINGKAT KURANGKAN 50 PERATUS KESESAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Pembinaan projek pusingan ‘U’ bertingkat dan ‘direct ‘U’-turn’ di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) bermula dari Persimpangan Pulau Gadong hingga ke Persimpangan Cheng Perdana, mampu mengurangkan kadar kesesakan pada waktu puncak kepada lebih 50 peratus.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu.

Katanya, pembinaan kemudahan itu di AMJ disambut baik Kerajaan Negeri berikutan laluan berkenaan mencatatkan jumlah kenderaan paling tinggi pada waktu puncak.

“Jumlah kenderaan yang tinggi disebabkan faktor AMJ itu sendiri sebagai jalan utama selain terdapat empat taman perumahan sepanjang laluan berkenaan. Apabila siap kelak, pengguna tidak perlu lagi kerap berhenti apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, mereka cuma perlu membuat pusingan ‘U’ untuk menuju ke destinasi masing-masing.

“Insya-Allah apabila siap kelak masalah kesesakan jalan raya pada waktu puncak iaitu sebelah pagi dan petang di kawasan tumpuan di Melaka dapat dikurangkan sehingga 50 peratus,” katanya

Beliau, berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran pada Program Apa Khabau YB yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar, di Melaka FM, hari ini.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, mengikut perancangan asal Kerajaan Negeri memohon untuk menyediakan kemudahan itu di empat kawasan di Melaka.

Mengulas lanjut Hameed berkata, JKR selaku agensi bertanggungjawab akan meneruskan permohonan bagi mendapatkan kelulusan pembinaan kemudahan sama di tiga lokasi dicadangkan sebelum ini iaitu di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Lebuh Ayer Keroh dan Lebuh AMJ.

“Usaha untuk mendapatkan kelulusan diteruskan JKR, semuanya adalah berdasarkan permohonan dibuat sebelum ini.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri laksanakan inisiatif ‘no right turn’ untuk kurangkan kesesakan, tetapi kemudahan ini amat diperlukan kerana lebih efektif,” katanya.

Sementara itu, Hameed turut menyambut baik mengenai pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah yang bakal akan memberi banyak manfaat kepada rakyat Melaka.

“Laluan ini nanti akan membabitkan semua daerah di Negeri Melaka bermula dari Kuala Linggi bersempadan dengan Negeri Sembilan hingga ke Sungai Rambai bersempadan dengan Johor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2173
Kongsi :
Previous post WANITA KERUGIAN RM3,000 SELEPAS RANTAI DIRAGUT
Next post PERARAKAN BOT PEMBUKA TIRAI MALAM GALA AFA
Ubah saiz-+=