Sorting by

×

‘Pushbike’ tampil aksi comel si cilik

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 9 November – Aksi comel dan mencuit hati si cilik yang menyertai Melaka Push Bike Fun Night Challenge antara yang mewarnai serta menghiburkan malam minggu pengunjung yang meluangkan masa di Zon Bebas Kenderaan.

Penganjuran sulung berlangsung di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, pada Sabtu mendapat sambutan amat menggalakkan apabila disertai 50 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pertandingan itu membabitkan peserta berusia seawal dua hingga tujuh tahun yang datang dari semua daerah di negeri ini.

“Alhamdulillah kita lihat penganjuran kali pertama ini mendapat sambutan menggalakkan, ianya salah satu aktiviti bagi membantu ibu bapa meluangkan masa berkualiti pada hujung minggu bersama anak-anak.

“Menggunakan basikal imbang atau basikal tanpa kayuh (pushbike) ia sebenarnya turut membantu kanak-kanak untuk menambah baik daya imbang mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Shadan berkata setakat ini MBMB mempunyai sebuah litar ‘pushbike’ di Taman Bandaraya Bukit Serindit sepanjang 690 meter yang boleh dimaksimumkan penggunaannya bagi mengasah bakat si cilik di negeri ini dalam sukan itu.

“Insiatif ini menawarkan aktiviti berfaedah kepada anak-anak, berbanding menghabiskan masa dengan gajet untuk bermain permainan dalam talian atau melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya.

“Dengan adanya litar ini sudah tentu kita dapat melahirkan profesional dalam sukan ‘pushbike’ di Negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu hadiah pertandingan itu disampaikan oleh Ketua Ahli Majlis MBMB, Clr. Abd Razak Abu dan Setiausaha Bandaraya MBMB, Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1361
Kongsi :
Previous post TMM2024 mula jadi perhatian dunia
Next post Ayam serendah RM5.99 satu kilogram – Exco
Ubah saiz-+=