Pusat tahfiz Pulau Besar kembali dibuka tahun ini
PULAU BESAR – Pusat tahfiz yang terletak di Pulau Besar dijangka kembali beroperasi pada tahun ini, kata Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.
Menurut beliau, pusat tahfiz yang dikelolakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu akan menempatkan 40 orang pelajar sebagai permulaan.
Katanya, mengikut perancangann awal, pusat pendidikan dibuka semula dalam masa terdekat tahun ini dan ia dijangka selewat-lewatnya Julai depan.
“Untuk permulaan, kita tidak dapat menempatkan pelajar yang ramai kerana pusat tahfiz itu masih tiada bangunan sendiri, tetapi insya-Allah jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa dengan perancangan yang telah dirangka.
“Saya percaya dengan adanya pusat tahfiz itu ia dapat merancakkan kembali aktiviti keagamaan di Pulau Besar yang sinonim sebagai tempat menyebarkan agama Islam oleh ulamak dahulu kala,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata, selain pusat tahfiz itu, masjid terapung yang baharu dengan kos lebih RM20 juta juga akan diteruskan mengikut perancangan.
Katanya, buat masa ini, tabung sumbangan wakaf bagi pembinaan masjid berkenaan masih dibuka dan beliau menggalakkan orang ramai untuk turut sama mengumpul saham akhirat.
“Mengikut kutipan kini, kita sudah memperoleh kira-kira RM1 juta, tetapi kita masih memerlukan sumbangan bagi merealisasikan pembinaan masjid itu.
“Jadi, kita mohon kepada dermawan di luar sana agar turut sama menghulurkan sumbangan tabung wakaf ini kerana kos yang besar diperlukan.
“Insya-Allah, perkembangan terkini mengenai kutipan tabung wakaf itu akan kita maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.