Sorting by

×

PUSAT SUMBER ILMU PANTAI KUNDOR SEDIA AKSES INTERNET KEPADA 1,000 PELAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PANTAI KUNDOR 4 Januari – Pusat Sumber Ilmu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, diilhamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar khususnya daripada golongan B40.

Adun Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, inisiatif mewujudkan pusat ilmu itu bertujuan memudahkan anak-anak DUN berkenaan khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mendapatkan bahan bacaan dengan melayari internet sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

“Kita kini dalam proses untuk melengkapkan kemudahan seperti set komputer di Pusat Sumber Ilmu itu yang akan beroperasi setiap hari. Apabila siap kelak, pelajar yang akan menduduki peperiksaan boleh datang untuk mendapatkan bahan dan membuat rujukan.

“Diharapkan inisiatif ini memudahkan lagi pelajar dalam membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan, seperti semua tahu akses kepada internet amat penting pada zaman sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Japerun Pantai Kundor, semalam.

Tuminah berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Perpustakaan Negara dan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) dalam mendapatkan buku rujukan serta bahan bacaan bagi ditempatkan di Pusat Sumber Ilmu DUN Pantai Kundor.

“Japerun, DUN Pantai Kundor adalah yang pertama mewujudkan pusat sumber seperti ini yang membantu anak-anak tidak ada kemudahan internet di rumah untuk mendapatkan maklumat.

“Selain itu kita juga dalam usaha untuk mendapatkan sumbangan daripada mana-mana badan korporat atau syarikat yang sudi memberi sumbangan komputer bagi kegunaan pusat sumber ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

195
Kongsi :
Previous post NAIK TARAF MEDAN SELERA SULTAN MUHAMMAD DEMI KESELESAAN PENIAGA
Next post NAHAS KM204: TAYAR LORI TERCABUT ‘HILANG’, POLIS PERGIAT USAHA PENCARIAN
Ubah saiz-+=