Sorting by

×

PUSAT SEHENTI KHAS UNTUK USAHAWAN MELAKA – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Melaka bakal memiliki sebuah pusat sehenti atau ‘one-stop centre’ khas bertujuan membantu usahawan dalam aspek penyaluran maklumat, meneroka pasaran baharu, bimbingan kewangan dan program pembangunan perniagaan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata pelaksanaan inisiatif itu juga bertujuan untuk menyelaraskan maklumat berkaitan dana, geran atau pembiayaan disediakan agensi kerajaan atau pihak swasta.

Katanya, penubuhan dan aktiviti bakal dilaksanakan di pusat sehenti itu disusun agar ia memberikan faedah dan menggalakkan lagi aktiviti keusahawanan di Negeri Melaka selepas ini.

“Apabila dilaksanakan nanti usahawan Melaka sudah ada medium untuk mempromosikan produk. Mereka juga berpeluang mendapat bimbingan dan sokongan kewangan disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), SME Bank serta institusi berkaitan lain akan kita kumpulkan di pusat sehenti itu nanti.

“Apa yang pasti hasrat Kerajaan Negeri adalah menjadikan pusat sehenti ini sebagai hab informasi lengkap untuk usahawan yang mencari peluang dan bimbingan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Allex Seah berkata, mengikut perancangan awal kemudahan itu akan beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah.

“Lokasi sebenar belum dimuktamadkan, namun pada dasarnya kita bersetuju untuk beroperasi di Bangunan UTC, jika semuanya berjalan lancar mungkin April pusat sehenti ini akan memulakan operasi.

“Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi usahawan di Melaka, sekali gus merancakkan sektor keusahawanan tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post WARGA EMAS RUGI RM100,000 TERPERDAYA SINDIKET MENYAMAR PEGAWAI BNM
Next post PERZIM SASAR 650,000 PELAWAT TAHUN INI