Pusat sehenti kenderaan rekreasi beroperasi November

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KOTA LAKSAMANA 13 Ogos – Melaka akan menyediakan kemudahan asas lengkap buat pengunjung yang menaiki kenderaan rekreasi (RV) di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, Duyong menjelang November ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, tapak parkir stadium tersebut akan dijadikan pusat sehenti yang boleh menghimpunkan lebih 50 kenderaan rekreasi dalam satu masa.

Shadan berkata, pihaknya telah menjalankan simulasi dengan memanggil kira-kira 12 pemain industri kenderaan rekreasi terbabit semalam dan menerima maklum balas positif.

“Peserta simulasi bermalam di lokasi yang dipilih, hasil perbincangan mereka minta MBMB tambah baik daripada segi kemudahan asas seperti tandas sedia ada jadikan bilik mandi, pencahayaan waktu malam dan pelbagai lagi.

“Kami ambil maklum cadangan mereka, kemudahan dicadangkan akan disediakan sebelum dibuka kepada pemilik RV singgan ke Negeri Melaka menjelang November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pelepasan Program Adventure Marathon Kayak Trip yang dirasmikan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Shadan berkata perancangan mewujudkan lokasi sehenti kenderaan rekreasi itu tercetus daripada cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Menteri untuk mewujudkan satu tapak buat golongan yang mempunyai kenderaan rekreasi ini, kerana dimaklumkan kira-kira 700 hingga 800 pemilik kenderaan rekreasi seluruh Malaysia mahu Melaka wujudkan satu lokasi bersesuaian di negeri ini.

“Jadi, Ketua Menteri meminta MBMB untuk wujudkan satu lokasi, kita ambil maklum dan memilih Bukit Serindit sebagai tapak.

“Ini merupakan salah satu langkah untuk menarik pengunjung luar (rata-rata pemilik kenderaan rekreasi dari luar Melaka) datang ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4298
Kongsi :
Previous post Mayat tekong Indonesia bot terbalik ditemui di Tanjung Tuan
Next post JKM Johor Bahru kesan waris kanak-kanak tujuh tahun mangsa dera
Ubah saiz-+=