Pusat Rehabilitasi PERKESO: Lebih 5,500 pekerja dirawat dengan peralatan berteknologi tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Peneraju utama program pemulihan perubatan, Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini menempatkan lebih 5,500 pekerja yang mengalami hilang upaya menjalani rawatan yang komprehensif.

Menurut kenyataan dikeluarkan badan korporat itu, pusat pemulihan berkenaan mempunyai tenaga kerja profesional terdiri daripada pelbagai bidang termasuk pegawai perubatan, jururawat, jurupulih anggota dan carakerja, serta pegawai psikologi.

Katanya, dengan dibarisi golongan profesional itu, pusat berkenaan turut dilengkapi dengan pengurus kes yang bertanggungjawab dalam menjayakan rancangan rehabilitasi klien sehingga kembali bekerja.

“Kini kami menjadi peneraju utama dalam program pemulihan perubatan yang melibatkan fisioterapi, terapi carakerja, terapi hidro, terapi pertuturan, robotik, sensori, pembangunan prostetik dan ortotik serta ‘work hardening & industrial rehabilitation’.

“Pelbagai latihan kemahiran turut ditawarkan di bahagian vokasional dengan fokus mengembalikan semula golongan pekerja ke alam pekerjaan selepas mengalami hilang upaya.

“Sehingga kini, lebih daripada 5,500 pekerja telah mendapatkan rawatan rehabilitasi yang menyediakan program rawatan komprehensif, intensif dan efisien di bawah satu bumbung, dengan pelbagai peralatan berteknologi tinggi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut melaporkan, pusat tersebut menempatkan Neuora- Robotics Rehabilitation and Cybernics Centre yang dilengkapi teknologi sut robot Hybrid Assistive Limb (HAL).

“HAL adalah teknologi neurobotik terkini dari Cyberdyne Inc., Japan yang menggabungkan interaksi antara manusia, robot dan informasi.

“Pusat cybenics itu merupakan yang pertama di Malaysia dan keempat di dunia, yang menawarkan perkhidmatan Cyberdyne HAL kepada pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang atau otak seperti lumpuh dan penyakit neurodegeneratif,”katanya.

Terletak di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya dengan keluasan 55 ekar, pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa itu siap dibina pada Oktober 2014 dan mempunyai empat bangunan utama iaitu blok pentadbiran, blok rehabilitasi, asrama dan vokasional.

Sebanyak 150 bilik asrama disediakan untuk kemudahan penginapan pekerja, manakala 50 katil disediakan di wad bagi pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

Views:

1576
Kongsi :
Previous post Buang sampah secara haram, punca denggi dan banjir kilat
Next post KPM tidak berhasrat perkenal semula PPSMI
Ubah saiz-+=