Pusat latihan ketiga MPI di Cyberjaya dijangka beroperasi Ogos
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Pusat latihan kewartawanan ketiga milik Malaysian Press Institute (MPI) di Cyberjaya dijangka mula beroperasi seawal Ogos ini.
Pengerusi MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata pusat latihan itu akan menempatkan kemudahan studio penerbitan video kamera berbilang untuk latihan kepada wartawan khususnya dalam bidang penyiaran.
Beliau berkata selain latihan, MPI atau mana-mana pihak boleh menggunakan kemudahan itu untuk program bual bicara televisyen selain ruang untuk menjalankan kursus yang ditawarkan MPI.
“Pembelian sebuah lagi pusat latihan akan membantu kita (MPI) meningkatkan usaha dan aktiviti latihan serta kursus kepada wartawan. Kita jangka apabila pusat latihan baharu itu beroperasi, kita boleh laksanakan sekurang-kurangnya dua kursus dalam sebulan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, Chamil menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan pusat latihan ketiga itu dibeli MPI pada harga RM870,400 dan akan beroperasi berhampiran dua lagi pusat latihannya di Radius Business Park, Cyberjaya.
“Harga jualan unit tersebut ialah RM1.28 juta, namun pemilik Kumpulan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar memberi diskaun 32 peratus bagi pembelian tersebut sebagai menghargai peranan MPI membangunkan modal insan kewartawanan Malaysia.
“Tan Sri (Mustapha Kamal) juga memberi diskaun istimewa terhadap pembelian dua ruang kerja di Radius pada 2017. Kini MPI memiliki tiga unit ruang kerja di Radius Business Park bernilai sekurang-kurang RM3 juta mengikut harga pasaran,” katanya.
Penyerahkan kunci antara wakil Kumpulan EMKAY Wan Syarizman Wan Jaafar dan Chamil disaksikan ahli lembaga pemegang amanah dan majlis pentadbir MPI, pada Khamis lepas di ibu negara.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.