Pusat Keluarga LPPKN Melaka sasar 40,000 wanita terima pelbagai manfaat
AYER KEROH 12 Mei – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Melaka menyasarkan 40,000 wanita termasuk kaum ibu menerima manfaat menerusi pelbagai program pemerkasaan golongan itu pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejak Pusat Keluarga LPPKN di Melaka beroperasi sepenuhnya pada 3 Januari lalu, ramai wanita terutama kaum ibu di negeri ini menerima manfaat menerusi pelbagai program.
“LPPKN Negeri Melaka telah memberi manfaat kepada 20,000 wanita termasuk kaum ibu sepanjang 2023 dan pusat itu akan terus menjadi pusat sehenti dengan menyasarkan lebih 40,000 manfaat sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Terima Kasih Ibu’ di Pusat Keluarga LPPKN di sini, hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan majlis tersebut dan mengurniakan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah Mohtar, 61.
Terdahulu keberangkatan Seri Paduka Baginda turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.
Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Zuriyah Ab Aziz; isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Untuk rekod, Pusat Keluarga LPPKN itu merupakan pusat keluarga yang keenam disediakan lembaga itu dan ia menyediakan pelbagai perkhidmatan keluarga dan program kesejahteraan wanita, yang akan memanfaatkan lebih 300,000 orang penduduk wanita yang berumur 15 tahun dan ke atas di negeri Melaka.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan kaum wanita termasuk para ibu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 menerusi Program Semarak Wanita sebagai memberi galakan untuk memperkasakan pembangunan wanita di Melaka.
“Dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Melaka juga telah berjaya mewujudkan Rumah Perlindungan Wanita Negeri Melaka di sebahagian kawasan kompleks Japerun.
“Ia selaras dengan usaha mendokong agenda kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.