Pusat kecemerlangan TVET, sedia tenaga mahir
LENDU 18 Februari – Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET Centre of Excellence) bakal melengkapkan ekosisten sektor perindustrian di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, TVET Centre of Excellence diwujudkan hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu juga akan menjadi pusat melahirkan pekerja berkemahiran serta berkemahiran tinggi.
Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan menggunakan peruntukan khas RM10 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bertujuan mempergiat sinergi di antara institusi TVET dengan pihak industri
“Kemudahan ini akan diwujudkan di UTeM bagi memastikan Melaka mampu membekalkan jumlah tenaga kerja yang cukup mengikut keperluan pelabur yang datang ke negeri ini.
“Peluang ini terbuka kepada semua dan Kerajaan Negeri tidak meletakkan sebarang sasaran, kepada mereka yang layak boleh memohon,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 (MPAT-40) Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang juga Presiden MGBM yang baharu, mantan Presiden MGBM Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Pengarah JBS Melaka, Khairul Adri Rosli.
Pada lawatan kerja ke Melaka pada 9 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas RM10 juta untuk Negeri Melaka bagi meningkatkan lagi hubungan antara institusi TVET dan pihak industri.
Kata Perdana menteri, inisiatif itu bukan sahaja mampu membantu graduan TVET mendapat pekerjaan sebaliknya menikmati kadar upah lebih tinggi antara RM3,500 hingga RM5,000 sebulan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.