Pusat kecantikan SPA dah mula terima tempahan pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 19 Feb. – Meskipun belum dibuka selepas diumumkan antara sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi, ada pemilik spa di kawasan ini sudah menerima tempahan untuk memberikan perkhidmatan kecantikan dan kesihatan kepada pelanggan.

Pemilik spa Zana Muslimah SPA, Suzana Abu Talib berkata, sebagai persediaan sebelum beroperasi sepenuhnya hari ini, dia sudah mengarahkan kakitangannya menjalankan rutin kebersihan dan proses sanitasi di dalam premis sebaik kerajaan membuat pengumuman itu semalam.

Suzana mengadakan mesyuarat bersama MOTAC secara maya.

Katanya, kakitangannya seramai empat orang juga mula menjalankan aktiviti pemasaran bagi menarik perhatian pelanggan mendapatkan perkhidmatan kecantikan dan kesihatan di spa miliknya.

“Walaupun dalam keadaan masih ditutup sebelum ini, kami sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan melalui platform media sosial dan rata-ratanya pelanggan tidak sabar untuk ‘memanjakan’ diri di pusat kecantikan kami.

“Alhamdulillah, maklum balas diterima daripada pelanggan amat baik sekali dan kami tidak sabar untuk memulakan perniagaan dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Sebagai usahawan di dalam industri kecantikan spa, saya berasa amat lega apabila kembali beroperasi dan lebih bersedia kali ini untuk memberikan perkhidmatan dalam keadaan norma dan SOP (prosedur operasi standard) bagi memastikan perniagaan kembali bangkit dengan risiko yang rendah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Suzana berkata, dia bersama pengusaha spa yang lain mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) secara atas talian bagi mendapatkan pensijilan SOP untuk beroperasi dalam keadaan norma baharu.

Menurutnya, meskipun tidak beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebelum ini, dia tidak mengalami sebarang masalah untuk menjana pendapatan kerana mempunyai perniagaan atas talian.

“Ini secara tidak langsung mengekalkan keempat-empat pekerja untuk terus bekerja dan menjana sumber pendapatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Teknologi 5G untuk rakyat bermula akhir tahun ini
Next post Pusat boling MIBC terjejas, penyewa tamatkan kontrak sewa
Ubah saiz-+=