Pusat boling MIBC terjejas, penyewa tamatkan kontrak sewa

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 19 Feb – Pengendali pusat boling di negeri ini mengalami kerugian 70 peratus ekoran pusat sukan itu tidak dibenarkan operasi meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula hari ini.

Pengurus Besar Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) Mohd Fasarul Md Isa berkata premis berkenaan mengalami kerugian teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 malah semua kakitangan terpaksa dipotong elaun bagi memastikan pusat sukan itu terus bertahan.

Katanya, keadaan semakin membimbangkan apabila penyewa di MIBC memohon untuk menamatkan kontrak selepas tidak mampu menampung kos sewaan berikutan tidak menjana pendapatan sepanjang PKP 2.0.

PUSAT Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) lengang apabila tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kos kita juga agak tinggi dari segi penyelenggaraan dan sebagainya, jadi memandangkan keadaan kekangan kewangan syarikat yang tidak mengizinkan, kita terpaksa potong elaun pekerja namun tiada seorang pun diberhentikan.

“Penyewa dalam MIBC juga turut terkesan, malah setakat ini tiga ke empat daripada 20 penyewa dalam premis sudah memohon untuk menamatkan kontrak awal dan mungkin akan ada lagi sekiranya penutupan operasi boling masih berterusan.

“Mereka (penyewa) juga bergantung kepada pengunjung pusat boling untuk meraih pendapatan, jadi ada yang ambil keputusan untuk tamatkan kontrak penyewaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Menurut Mohd Fasarul, meskipun tidak menerima pengunjung namun pusat boling berkenaan dibenarkan beroperasi sekiranya atlet Sukan Malaysia (SUKMA) perlu menjalani latihan.

Semalam, media melaporkan pengendali pusat boling memohon kerajaan membenarkan pusat sukan itu beroperasi bagi menyelamatkan kira-kira 2,000 kakitangan yang terjejas akibat penutupan operasi.

Menerusi sidang media yang diadakan secara maya, pengusaha pusat itu meluahkan rasa mengenai kesan dihadapi sejak PKP 1.0 Mac tahun lalu malah ada antara mereka juga tidak tersenarai di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sehingga terpaksa melakukan pemotongan gaji atau pemberhentian kerja.

 

Views:

1109
Kongsi :
Previous post Pusat kecantikan SPA dah mula terima tempahan pelanggan
Next post Peserta teruja ikuti kursus keusahawan
Ubah saiz-+=