Pusat beli belah terawal Melaka berwajah baharu
AYER KEROH 1 November – Pusat Beli Belah di Ayer Keroh yang menjadi saksi pembangunan Melaka sejak tahun 1991 kini berwajah baharu.
Ia selepas pusat beli belah itu dinaik taraf bertepatan dengan ketibaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Majlis perasmian pembukaan semula pusat beli belah itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Tuminah Kadi @ Mohd Hasim dan Ketua Komunikasi Korporat AEON Co. Sdn. Bhd., Dr. Kasuma Satria.
Pada majlis itu, Tun Mohd Ali turut menyampaikan sumbangan menerusi Yayasan pusat beli belah berkenaan sebanyak RM10,000 kepada tiga pertubuhan kebajikan terlibat.
Sementara itu, Dr. Kasuma memaklumkan pusat beli belah itu kini lebih mesra komuniti selepas beberapa perubahan dilaksanakan termasuklah memperbesarkan ruangan solat, medan selera, kemudahan bilik salinan bayi dan pelbagai lot kedai.
“Pusat beli belah ini juga menampilkan muka bangunan atau ‘façade’ dengan identiti yang lebih segar serta landskap lebih terbuka atau ‘alfresco’.
“Bahagian dalam pusat membeli belah juga telah diubah suai dengan rekaan dalaman yang diberi sentuhan budaya Baba dan Nyonya.
“Selain itu, kita turut memperkenalkan amalan hijau dengan pemasangan panel solar di bumbung parkir kenderaan dan bumbung pusat beli belah ini. Ia secara tidak langsung membantu penjimatan tenaga sebanyak 15 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.