Sorting by

×

Pusara bapa pengubat rindu

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BEMBAN 30 Januari – “Setiap hari anak-anak akan pergi menziarahi pusara bapa mereka untuk hilangkan rasa kerinduan di hati,” kata Siti Maziah Ab Manap, 43.

Siti Maziah merupakan balu kepada Mohd Fazli Mohd Saad, 44, yang meninggal dunia pada 19 Januari lalu akibat penyakit kanser pankreas tahap empat.

Menurut Siti Maziah, pemergian arwah suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori amat berat untuk diterima memandangkan penyakitnya itu hanya diketahui pada bulan September tahun lalu selepas membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Melaka.

“Sehingga kini anak-anak masih belum boleh terima kehilangan bapa mereka, adik-beradik saya akan bawa mereka pergi ziarah kubur bapa mereka pada setiap pagi untuk hilangkan rasa rindu.

“Apatah lagi anak sulung saya Syifa Zulaikha Mohd Fazli, 15, sangat rapat dengan bapanya dan kerap kali bermimpi serta menyebut nama bapanya.

“Sebagai ibu saya akan cuba penuhi amanah arwah untuk mendidik dan membesarkan anak-anak sehingga berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan faedah pencen penakat di rumahnya di Kampung Tehel, di sini, hari ini.

Siti Maziah menerima pencen penakat sejumlah RM1,698.13 sebulan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) secara ‘one-off’ RM2,000 yang disampaikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.

Bercerita tentang penyakit suaminya, Siti Maziah berkata, pada awalnya Allahyarham sering mengadu sakit perut seperti gastrik pada Ogos tahun lalu dan didiagnosis sebagai sakit perut biasa oleh sebuah klinik swasta.

“Tapi bila sakitnya semakin melarat kami putuskan untuk pergi ke Hospital Melaka untuk buat pemeriksaan, ketika itu doktor sahkan suami saya menghidapi kanser pankreas di tahap tiga.

“Pada Disember 2023 kami ke Institut Kanser Negara (IKN) untuk rawatan radioterapi (RT) susulan, malangnya suami hanya sempat jalani sembilan dari 25 rawatan RT sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 19 Januari 2024,” katanya yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah iaitu Syifa Zulaikha (15 tahun), Muhammad Syafi Zuhaily (12 tahun) dan Syafiah Zuhaira (tujuh tahun).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post Anggota polis trafik tular minta wang direman tiga hari
Next post Melaka tubuh Jawatankuasa Khas Jenayah Siber
Ubah saiz-+=