PURBAWARA MUZIKAL: SULALAT’ US SALATIN – KEMAHARAJAAN MARITIM SELAT MELAKA 20- 22 DISEMBER INI
AYER KEROH 21 November – Sebuah teater purbawara muzikal bertajuk Sulalat’ Us Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim bakal dipentaskan di Auditorium Panggung Sari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka pada 20 hingga 22 Disember depan.
Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata teater tersebut adalah kolaborasi JKKN Melaka bersama Persatuan Gerakan Anak Seni dan CTRA Production akan dipentaskan pada tarikh terbabit bermula jam 8.30 malam.
Katanya, teater muzikal itu mendapat sokongan hasil Inisiatif Belanjawan 2024 oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai salah satu bentuk pementasan naskhah karya agung.
“Naskhah Sulalatus Salatin ini telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada 2012 serta sudah mencecah 32 salinan seluruh dunia.
“Teater purbawara (mengikut DBP merujuk kepada drama satu babak yang mengisahkan cerita kuno) muzikal yang dipentaskan ini berkisarkan tentang kemaharajaan maritim yang disebut sebagai pertuturan segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu.
“Teater ini menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan, Kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, Kisah Tun Jana Khatib di Temasek, Kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura Dilanggar Todak, Kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ezlina berkata persembahan matinee pada jam 3 petang turut dilakukan pada 21 dan 22 Disember depan.
“Artis berbakat tanah air seperti Norish Karman, Adam Lee dan A.Aris Kadir dan ramai lagi antara teraju utama dengan gubahan serta muzik daripada Asry Hassan,” katanya.
Jualan tiket menerusi iLASSO Tickets: 011-13297822 dengan harga serendah RM30 menerusi pakej tembaga; pakej Perak RM50 dan Pakej Emas bernilai RM80.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.