Pulih semula anak syarikat kurang memberangsangkan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

JASIN 25 Julai – Anak syarikat Kerajaan Negeri yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan perlu melakukan penambahbaikan daripada aspek pengurusan dan perniagaan agar mampu menjana pendapatan sendiri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, hasil saringan Retreat Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2024 baru-baru ini, sebanyak 54 anak syarikat dikenal pasti menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, menjadi hasrat beliau untuk melihat syarikat berkenaan berdikari, seterusnya memberikan pulangan yang baik kepada Kerajaan Negeri.

“Sudah tentu ada indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan, kita kena lihat semua sudut supaya pentadbiran anak-anak syarikat ini diuruskan mengikut tatakelola yang sebaiknya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan dan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ab Rauf turut mewajibkan semua ketua-ketua eksekutif agensi yang mewakili pemegang saham dalam semua anak-anak syarikat untuk memulakan usaha pemulihan itu.

“Ia termasuklah memanggil pengurusan anak syarikat bagi mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh ketua eksekutif agensi. Mesyuarat ini bertujuan memantau semua anak-anak syarikat di bawahnya termasuk syarikat bersekutu untuk melihat daripada segi pencapaian yang meliputi sasaran unjuran untung rugi.

“Semua ketua-ketua eksekutif anak-anak syarikat perlu memastikan sasaran hasil dan perbelanjaan tahunan dapat dicapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post Bunga raya lambang patriotik warga MPHTJ
Next post Keluarga Albertine Leo tidak kenal kesemua suspek – polis
Ubah saiz-+=