Pulau Besar pusat pelancongan patuh syariah
AYER KEROH 20 Disember – Pulau Besar bakal diangkat menjadi destinasi aktiviti rekreasi baharu, sekali gus menjadi pusat pelancongan patuh syariah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata Pulau Besar kini bersedia menerima kedatangan pengunjung selepas pembangunan semula dijalankan.
Rahmad yang juga Pengerusi Steering Commitee Pembangunan Semula Pulau Besar berkata, matlamat utama Kerajaan Negeri adalah membangunkan Pulau Besar sebagai destinasi pelancongan patuh syariah dan pusat tamadun Islam.
“Saya telah mengumpulkan agensi-agensi berkaitan termasuk Perbadanan Melaka (MCorp), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) dan beberapa lagi agensi lain untuk bersama-sama membangunkan Pulau Besar.
“Aktiviti rekreasi di Pulau Besar sudah bermula minggu lalu dan pelbagai lagi aktiviti diatur sehingga tahun hadapan. Semua aktiviti ini dijalankan secara mingguan.
“Selain itu Pulau Besar kini dilengkapi pelbagai tarikan seperti aktiviti kayak, ‘wall climbing’ dan turut diadakan pameran, semua ini sesuai bagi pelancong merancang bermalam di sana,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, pelbagai kemudahan awam turut dibangunkan untuk keselesaan pengunjung ke Pulau Besar.
“Antara kemudahan yang kita bangunkan, tandas awam, surau, tapak perkhemahan, laluan, ‘decking view’, lampu solar, mengindahkan lanskap, wakaf-wakaf niaga dan pelbagai lagi akan dibangunkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.