PULANGLAH WAHAI ANAK…
AYER KEROH 30 Januari – Hati ibu mana yang tidak sakit dan sedih apabila mengenangkan anak kandungnya hilang tanpa khabar berita sejak 6 Januari lalu.
Siti Nurfatin Syuhada Shahaeul Aizom, 22, dipercayai nekad melarikan diri dengan alasan mahu bersendirian dan berdikari, namun sehingga kini gagal dihubungi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan gadis yang merupakan anak bongsu itu pada jam 10.14 pagi, Ahad lalu (26 Januari).
Menurutnya, berdasarkan laporan, pengadu iaitu ibunya yang berada di tempat kerja di Tangga Batu, telah menerima panggilan daripada salah seorang anaknya bahawa gadis itu telah keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.
“Pengadu kemudiannya telah menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp bagi bertanyakan keberadaan anak bongsunya itu, namun gadis itu membalas keluar sekejap dan mahu bersendirian.
“Selepas itu, anaknya menghantar satu lagi mesej lain dan menyatakan ingin berdikari selain mahu membuktikan dia mampu berdikari.
“Sehingga kini pengadu cuba menghubungi gadis itu tetapi tiada sebarang khabar diterima sebelum hadir ke balai polis pada 26 Januari lalu,” katanya.
Tambah Christopher, gadis berkulit cerah dengan ketinggian 160 sentimeter itu (cm) juga pernah memaklumkan kepada keluarganya mahu bekerja di Kuala Lumpur.
Ujarnya, pengadu mengesyaki anak perempuannya itu melarikan diri mengikut seorang individu dipercayai berperwatakan seperti lelaki yang dikenali sebagai Farah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu bolej tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hairul Anuar Mohd Jaini menerusi talian 018-3868234 untuk membantu siasatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.