‘Pulanglah Adik Ju’
SUNGAI UDANG 18 Mei – “Kalau Adik Ju terbaca berita ini, pulanglah nak..Mak rindu…
“Jika ada sesiapa ambil, pulangkanlah anak saya…Syawal tahun ini terasa berbeza tanpa dia di sisi.
Itu luahan sebak seorang ibu dari Taman Sungai Udang selepas anak perempuannya, Nor Julaikah Husin, 16, hilang tanpa khabar berita sejak tujuh hari lalu.
Rohati Jantan, 52 berkata, pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk mencari anak keenam dari tujuh beradik yang hilang sejak pagi 12 Mei lalu termasuklah menghubungi rakan sekolah dan mencarinya di seluruh pelusuk negeri, namun sehingga kini tiada petunjuk ditemui.
Menceritakan detik kehilangan anaknya itu, Rohati berkata, ia disedari kira-kira jam 6.40 pagi, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri apabila anaknya tiada di rumah, selain turut mendapati kad pengenalannya serta baju raya berwarna ungu turut hilang dalam almari.
“Pagi itu, dia bersahur seperti biasa. Tiada tanda-tanda dia hendak melarikan diri. Malah, dia sempat berkata kepada saya untuk mengejutkannya pagi itu.
“Tetapi selepas Subuh, apabila saya lihat di bilik, dia sudah tiada dan dari situ saya dapati baju rayanya bersama beberapa helai kemeja T sudah tiada, selain kad pengenalannya yang saya pegang selama ini juga sudah tiada di dalam dompet.
“Kami mengesyaki dia keluar melalui pintu belakang yang tidak berkunci, dan kali terakhir dia keluar memakai kemeja T bertulis ‘Nasa’ berwarna merah hati (maroon) dan seluar ‘track’ berwarna hitam,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di rumahnya.
Susulan itu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada 13 Mei iaitu 24 jam selepas kehilangan Julaikah.
Mengulas lanjut, Rohati berkata, tiada perselisihan faham berlaku di antaranya dan suami serta anak-anaknya yang lain bersama Julaikah yang mesra dengan panggilan Adik Ju pada hari kejadian.
Malah, katanya, anaknya itu juga bukanlah seorang yang gemar bersosial, sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa di rumah, selain tidak mempunyai ramai kawan.
“Sebab itulah, saya terkejut dengan kehilangan ini. Saya tak sangka akan jadi begini. Sebelum ini, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah daripada keluar berjumpa atau melepak dengan rakan-rakan.
“Kalau keluar sekalipun, dia hanya akan keluar bersama kami sekeluarga atau dengan adik-beradiknya sahaja. Dia tidak pernah keluar seorang diri,” katanya dalam nada sebak.
Sehubungan itu, dia meminta jasa baik orang ramai untuk melaporkan kepadanya atau pihak polis sekiranya menemui Julaikah.
Sekiranya mempunyai sebarang maklumat bolehlah menghubungi talian 011-24824349 (Atin / kakak), 011-26832917 (Ayu / kakak) atau 011-65356072 (Jannah /kakak yang menetap di Johor).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.