Pujukan ‘Kak Som’ bawa warga emas ke hospital
PENGKALAN BATU 17 Januari – Wanita warga emas dipercayai menghidap masalah tiroid sejak dua tahun lalu mendapat perhatian Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang akhirnya setuju ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.
Warga emas berkenaan Sabiah Syed, 70, setuju mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, selepas dipujuk Kalsom, dalam perjumpaan di rumah wanita berkenaan di Kampung Bachang Darat, pada Isnin.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, sepanjang perbualan Sabiah kelihatan tidak selesa dan menahan sakit akibat bengkak pada lehernya.
“Difahamkan Sabiah enggan dan takut untuk ke hospital bagi pemeriksaan atau menjalani rawatan meskipun sudah dipujuk ahli keluarga dan jiran. Saat melihat keadaannya, saya dapat merasai kesakitan ditanggung, apatah lagi dimaklumkan dia tidak pernah ke hospital untuk memeriksa bengkak pada leher.
“Pada awalnya dia berkeras, tetapi alhamdulillah saya berjaya lembutkan hati Sabiah, selepas diberi nasihat dia setuju untuk dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan,” katanya
Jelasnya, wanita itu kini ditahan sementara di wad bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan doktor untuk mengenal pasti punca sebenar menyebabkan lehernya membengkak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.