Sorting by

×

PTPTN MELAKA TAJA 100 PELAJAR ASNAF, ANAK YATIM BUKA AKAUN SSPN PRIME

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Melaka terus cakna terhadap pendidikan anak-anak kurang bernasib di negeri ini.

Baru-baru ini, Pejabat PTPTN Negeri Melaka telah menyampaikan sumbangan Pembukaan Akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM10,000 bagi membantu pelajar dari keluarga asnaf, fakir, miskin dan anak yatim di sekolah-sekolah dalam daerah Melaka Tengah.

Simbolik penyampaian sumbangan itu telah disempurnakan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Melaka Mas Anisah Ayu Othman pada satu majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu.

Menurut Mas Anisah, sumbangan tersebut merupakan Wakalah Zakat daripada pihaknya dalam membantu pelajar kurang berkemampuan membuka akaun simpanan yang dapat membantu pendidikan masa depan mereka.

Ujarnya, seramai 100 pelajar dari sekolah-sekolah di daerah Melaka Tengah menerima manfaat berupa sumbangan akaun SSPN Prime berjumlah RM100 setiap seorang.

“Semoga dengan pembukaan akaun tersebut ia dapat memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak untuk membuat penabungan dari awal pendidikan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak, selain dapat menyebar luaskan manfaat Simpan SSPN Prime.

“Diharap langkah ini juga dapat membudayakan amalan menabung dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah Yusri Seman; Pengurus Cawangan PTPTN Ayer Keroh Siti Suhanafiah Soefjan Joenoes; Pengurus Jualan PTPTN Ayer Keroh Nor Hidayu Kassim dan Mohd Shafiq Shafee serta pengetua-pengetua sekolah terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

150
Kongsi :
Previous post ‘SCAMMER’ KAUT HAMPIR RM76 JUTA DI MELAKA TAHUN INI
Next post 48 PASUKAN FUTSAL BAKAL BERENTAP, REBUT PIALA YDP MPHTJ