PTPTN MELAKA DEKATI MAJIKAN
AYER KEROH 19 Disember – Sejumlah 128 majikan di Melaka tampil bekerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi melaksanakan bayaran pinjaman menerusi potongan gaji.
Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama bersama majikan dari pelbagai sektor bagi pembayaran pinjaman balik menerusi potongan gaji.
“Sehingga November lalu sebanyak 128 majikan dari pelbagai sektor di Melaka ini sudah bekerjasama dengan PTPTN bagi urusan potongan gaji ini.
“Di Melaka ini kita tidak pasti berapa ramai jumlah sebenar peminjam yang ada dan bekerja di sini jadi disebabkan itu kita perlu ada libat urus secara berkala dengan majikan.
“Untuk itu, sekali lagi pada tahun ini PTPTN menganjurkan Majlis Mesra Majikan (MMM 2.0) PTPTN 2024 yang mana menerusi penganjuran ini kita dapat mendekati majikan yang lain,” katanya selepas Majlis Mesra Majikan (MMM 2.0) PTPTN 2024 Peringkat Negeri Melaka, semalam.
Menurutnya, pada penganjuran MMM 2.0 seramai 30 majikan antaranya dari agensi Kerajaan Negeri, badan berkanun dan swasta hadir bagi merealisasikan hasrat PTPTN.
“Menerusi penganjuran ini selain memberi taklimat berkenaan kedudukan kewangan dan operasi PTPTN, kita juga menerangkan kaedah potongan pembayaran seperti menerusi Portal Majikan.
“Ini adalah tahun kedua kita anjurkan MMM 2.0 dan setiap penganjuran membabitkan majikan berlainan dan ini secara tidak langsung dapat maklumat berkaitan dapat dikongsi kepada rakan majikan yang lain,” katanya.
Jelasnya, bagi memudahkan peminjam untuk berurusan, PTPTN mengadakan Hari Mesra Pelanggan bermula 16 hingga 31 Disember ini yang mana sepanjang tempoh ini waktu operasi akan dipanjangkan berbanding hari biasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.