Sorting by

×

PSSGM ANGKAT MARTABAT SENI, SUKAN SILAT DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 27 November – Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Bahagian Negeri Melaka telah mengadakan Majlis Pertabalan Sandang Kebesaran (Berjawatan & Kehormat) bertempat di sebuah hotel, di sini, 23 November lalu.

Majlis tersebut menghimpunkan seramai 150 tetamu, termasuk 83 penerima sandang serta tetamu kehormat bukan sahaja dari Melaka, bahkan Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Terengganu.

Setiausaha Lembaga Adat Istiadat PSSGM Ahmad Syarifudin Samsudin Al Fahani berkata, majlis itu bertujuan mengiktiraf jasa penerima sandang yang terdiri daripada ahli dan pemimpin PSSGM yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam memartabatkan seni silat sebagai warisan budaya bangsa.

Selain itu, jelasnya, majlis itu juga memberi penghormatan kepada mereka yang berperanan aktif dalam mempromosikan nilai-nilai positif dalam masyarakat.

“Kejayaan majlis ini adalah hasil usaha gigih Ahli Jawatankuasa PSSGM Melaka yang telah bekerjasama erat dengan Lembaga Adat Istiadat Negeri Melaka. Komitmen ini mencerminkan semangat kerjasama dalam memperkukuhkan seni warisan bangsa.

“Selain itu majlis ini juga memberikan impak yang besar dalam menginspirasikan generasi muda untuk lebih menghargai seni silat sebagai khazanah budaya serta memupuk jati diri mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Yang Dipertua PSSGM Leftenan Jeneral (B) Dato’ Pahlawan Mohd Razif Idris; Waris Amanah Mutlak Silat Seni Gayong Malaysia Sazali Saleh @ Dato’ Meor Abd Rahman; Yang Dipertua PSSGM Melaka Mohd Zamir Mohd Sharif serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, seramai 33 penerima Sandang Kehormat merupakan mereka yang terdiri daripada pengetua sekolah, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, pemimpin masyarakat dan individu yang berjasa didalam mengembangkan Silat Seni Gayong Malaysia di Negeri Melaka.

Turut menerima pengiktirafan Sandang Kebesaran adalah 50 Gurulatih Seni Silat di Melaka, di mana mereka akan menjalankan amanah dengan menubuhkan Gelanggang Silat Seni Gayong di seluruh Melaka.

Dalam pada itu, Ahmad Syarifudin berkata, PSSGM akan terus komited memartabatkan seni dan sukan silat di Malaysia amnya dan Negeri Melaka khasnya bagi memastikan generasi muda lebih menghargai seni dan budaya untuk memupuk jati diri mereka.

Untuk rekod, setakat ini PSSGM mempunyai seramai hampir 1,500 keahlian dan hampir 30 Gelanggang berdaftar di seluruh Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post ‘LEBIH YAKIN UNTUK AMBIL GAMBAR, VIDEO SENDIRI’
Next post JKR MELAKA KENAL PASTI 4 JALAN ‘HOTSPOT’ BANJIR KILAT
Ubah saiz-+=