Sorting by

×

PSMJ 2035 PACU MELAKA JADI NEGERI BERDAYA SAING

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TELOK MAS 28 Februari – Semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri perlu bersiap sedia untuk merealisasikan perancangan yang terangkum dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelan itu menetapkan pelbagai sasaran dan perancangan dalam menjadikan Melaka sebuah negeri yang lebih efektif dan berdaya saing.

Justeru, beliau berkata, Konvensyen PSMJ 2035 telah diadakan sebagai satu pendekatan yang signifikan buat kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka melontarkan buah fikiran, hujahan dan perbincangan dalam memperhebatkan lagi hala tuju misi dan visi Negeri Melaka.

“Saya tidak mahu ia (PSMJ 2035) tinggal hanya sekadar pelan, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab yang perlu diterjamahkan dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan.

“Hala tuju tersebut juga perlu dibukukan supaya menjadi satu panduan kepada pelaksanaannya oleh semua yang terlibat.

“Kita menetapkan beberapa sasaran supaya perancangan ini akan menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang efektif, berdaya saing dan mengamalkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS Negeri Melaka di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat Telok Mas di sini, semalam.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pengarah KEMAS Melaka Asri Saleh.

Dalam pada itu, Ab Rauf menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberi kepercayaan kepada Melaka untuk menganjurkan acara bertaraf dunia iaitu Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Menurut beliau, Melaka telah bersedia untuk menerima tetamu-tetamu dari 159 buah negara yang akan berkampung ke Melaka pada bulan September depan.

“Pastinya ia akan mencerminkan kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengatur semua persediaan awal bagi meraikan kehadiran 159 pemimpin dunia dalam industri pelancongan dan warisan yang berkampung di Melaka selama satu minggu.

“Selaras itu, kita juga memohon supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan agar Melaka boleh menjadi lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2025 (VM2026) selepas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TIGA FOKUS UTAMA PERKASA KEMAS MELAKA
Next post KAPAL TANGKI DITAHAN, BERSAUH TANPA KEBENARAN