PSH Melaka hospital Asia pertama guna teknologi robotik tahun depan
PENGKALAN RAMA 15 Dis – Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka menjadi hospital pertama di Asia melaksanakan kaedah pembedahan menggunakan teknologi robotik bermula pertengahan tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wira Radhuana Salleh berkata beberapa doktor pakar bedah PSH pada Isnin lalu menjalani latihan secara maya menerusi Handsfree Robotic Laparoscopic.
Katanya, latihan yang dianjurkan oleh syarikat perubatan dari United Kingdom, Freehand dan Imperial Medical Solution memberikan kemudahan kepada doktor-doktor pakar bedah di PSH untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
“PSH Melaka bertuah kerana teknologi ini adalah teknologi yang pertama di Asia menggunakan teknologi robotik, ia bukan sahaja boleh digunakan oleh pakar bedah umum malah pakar urologi, ginekologi dan torasik,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, hasil daripada latihan itu, PSH cukup bertuah kerana Freehand dan Imperial Medical Solutin memilih hospital itu untuk menggunakan kaedah teknologi robotik ini.
“Kita bertuah dipilih kerana kerjasama dengan pelbagai hospital dan juga ‘training centre’ ke seluruh dunia beberapa tahun dahulu.
“PSH pernah melawat negara India dan kita melihat percubaaan menggunakan robotik ini, Alhamdulillah kita dipilih kerana salah seorang pakar yang menguruskan teknologi robotik ini ia berasal dari Malaysia iaitu anak doktor pakar di PSH.
“Teknologi ini kita sasarkan pertengahan tahun hadapan, saya rasa ini adalah batu loncatan untuk menjadikan PSH Melaka lebih dikenali selain membawa lebih ramai pelawat terutamanya selepas pandemik ini atau semasa endemik,” katanya ketika ditemui MHI, hari ini.
Ujarnya, kelebihan menggunakan teknologi robotik adalah bagi membantu doktor pakar melakukan pembedahan yang memerlukan ketepatan dan kualiti.
“Secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pakar bedah untuk meningkatkan produktiviti mereka dan hasilnya bakal dirasai oleh masyarakat disaat mereka memerlukan kemudahan tersebut.
“Bila ada robotik ini dia boleh sampai ke tepat ke tempat disasarkan (pembedahan), sudah tentu juga boleh jimatkan masa dan tenaga kakitangan.
“Kita juga mempunyai doktor-doktor pakar yang muda serta berjiwa besar untuk menggunakan peralatan lebih canggih mengikut kesesuaian hospital yang turut menyediakan fasiliti bertepatan,” katanya.
Terdahulu Radhuana telah melancarkan latihan teknologi robotik ‘Handsfree Robotic Laparoscopic’ anjuran Frecehand dan Imperial Medical Solution yang diadakan secara maya Isnin lalu.
Latihan itu disertai Beberapa Pakar Bedah Umum yang diketuai Datuk Dr Malik Feisal Ayob bersama Datuk Dr A. Senasi, Dr P.S. Doshi, Dr Noorharisman Ideris dan Dr P. Nanthini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.