Sorting by

×

PRU15: Strategi kempen dalam talian, media sosial ‘berbisa’

Masa Membaca:3 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu memantapkan strategi kempen secara dalam talian kerana ia bersifat masa nyata, cepat dan mudah sampai kepada golongan sasar.

Sebagai contoh, dek kerana pandemik COVID-19 ketika Pilihan Raya Negeri Melaka diadakan pada November tahun lepas, semua parti dan calon terpaksa memafaatkan kaedah itu bagi memperkenalkan calon dan berkempen secara agresif kerana kempen bersemuka, berkumpulan, ceramah umum tidak dibenarkan sama sekali.

Tindakan tegas kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan diterajui Kementerian Kesihatan itu bertujuan menjaga kesihatan rakyat selain mengawal pandemik yang ketika itu merekodkan kes yang agak tinggi dengan ribuan nyawa terkorban akibat wabak berkenaan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir berkata pemimpin politik perlu mengakui hakikat bahawa dalam konteks demokrasi digital, media baharu merupakan alat penting yang digunakan untuk memenangani hati dan mencorak persepsi pengundi.

“Media sosial mula digunakan sebagai instrumen PRU sejak 2013 tetapi tidak secara meluas…namun menyedari sifatnya yang lebih murah dan mudah, maka calon dan parti politik menggunakannya dengan aktif untuk menyampaikan wadah, ideologi, manifesto dan wacana politik masa kini.

“Malah, sesiapa sahaja calon boleh mengetengahkan diri dan apa yang mereka boleh tawarkan kepada pengundi dengan hanya memperkasakan media sosial. Ini kerana secara umumnya kebanyakan orang akan membawa telefon pintar ke mana-mana sahaja, dan boleh terus memperoleh maklumat,” katanya kepada Bernama.

Apa lagi dengan kehadiran pengundi 18 tahun pada PRU kali ini yang cenderung menggunakan media baharu, Dr Jeniri berkata parti politik perlu mengambil kesempatan untuk memantapkan pasukan media sosial masing-masing.

Katanya, ia termasuk menyediakan bahan kempen yang berbentuk infografik yang mudah difahami, visual dengan audio menarik, santai dan bersifat interaktif yang sesuai dengan jiwa golongan muda.

Bagaimanapun, beliau akui media baharu memberi peluang kepada pihak tertentu untuk menyebarkan propaganda hitam termasuk fitnah dan berita tidak benar untuk menjatuhkan pihak lain kerana penggunaannya yang tiada sempadan.

Justeru, calon dan parti politik yang bertanding perlu peka dan mengambil tindakan segera untuk menangkis tuduhan liar pihak lawan melalui wacana tandingan berdasarkan data dan fakta.

“Perlu diingat maklumat di media sosial ni bergerak pantas, maka calon dan parti bertanding tidak boleh tunggu atau berdiam diri jika ‘diserang’, sebaliknya mereka perlu jawab semula tuduhan dengan bijak menggunakan fakta kerana setiap tuduhan di media sosial boleh mempengaruhi minda pengundi, sekali gus membawa mudarat kepada calon bertanding,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) pada 17 Sept lepas turut menyeru pemimpin parti itu termasuk Pemuda BN untuk menguasai peperangan secara maya dan menjawab segala tuduhan serta serangan pihak pembangkang kepada BN dan kerajaan yang dilemparkan di media sosial.

Senada dengan Dr Jeniri, Penganalisis Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Datuk Prof Dr Ismail Sualman berkata pihak yang diserang secara maya perlu menangkis dakwaan itu secepat mungkin bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh.

Bagaimanapun, beliau berpendapat penggunaan media tradisional dan media baharu secara seimbang menggunakan konsep ‘convergence’ dapat membantu calon dan parti politik untuk menyampaikan aspirasi mereka kepada masyarakat, selain langkah turun padang masih relevan untuk memikat hati pengundi.

“Contohnya calon tempatan, penduduk di kawasan itu dah kenal calon tersebut, jadi tiada masalah untuk dia tetapi jika calon baharu yang datang bertanding di kawasan itu, dia harus memperkenalkan dirinya dengan cara konvensional seperti turun padang berjumpa penduduk, guna poster, ceramah bersemuka kerana kaedah kempen secara maya tidak cukup,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata perancang kempen politik dari setiap parti perlu menggabungjalinkan kaedah kempen mengikut segmentasi pengundi seperti umur dan kawasan tempat tinggal bagi memastikan kempen yang dijalankan tidak sia-sia.

“Anak muda mungkin suka cara kempen dalam talian di Facebook dan Twitter misalnya, golongan berusia pula suka kempen yang bersemuka yang dapat memberi mereka ingatan jangka masa panjang terhadap calon, maka perancang kempen politik perlu melaksanakan pelbagai pendekatan mengikut keperluan golongan sasar,” katanya yang juga Pensyarah Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1569
Kongsi :
Previous post Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar
Next post NADMA anjur bengkel tingkat kesiapsiagaan agensi dalam pengurusan bencana
Ubah saiz-+=