Sorting by

×

PRU15: Saingan enam penjuru di Parlimen Padang Serai

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KULIM, 24 Nov – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, yang ditangguhkan pengundiannya sebelum ini berikutan kematian seorang calon, menyaksikan pertembungan enam penjuru selepas proses penamaan tamat 10 pagi ini.

Saingan itu melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar adalah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah pada 10.45 pagi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.

Mohamad Sofee, yang baru diumumkan semalam sebagai calon PH tiba di Pusat Penamaan Calon kira-kira jam 8.30 pagi tadi, manakala semua calon lain yang telah sah dinamakan pada 5 Nov lepas turut hadir bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

Bagaimanapun, calon Warisan tidak hadir bagi proses cabutan undi itu dan ia tidak menjejaskan peluang beliau untuk bertanding memandangkan pencalonan beliau telah disahkan sebelum ini.

Proses penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawalan rapi pihak berkuasa.

Mohamad Sofee, 47, yang juga seorang peguam menggantikan calon PH sebelum ini, M. Karupaiya, 69, yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 Nov lalu.

Setiausaha PH Kedah itu sebelum ini juga pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada Pilihan Raya Umum ke-14.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis berikutan kematian Karupaiya.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2053
Kongsi :
Previous post Raja-raja Melayu berangkat untuk perbincangan khas di Istana Negara
Next post Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri Ke-10
Ubah saiz-+=