Sorting by

×

PRU15: Perubahan baharu Malaysia ‘signal’ rakyat untuk UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 20 November – “UMNO menginsafi angin perubahan suara rakyat, walaupun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH), tetapi itu tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan kali ini”.

Itu kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, walaupun telah ramai mengingatkan agar parti itu perlu lebih berhati-hati dan berubah, namun ia tetap tidak diendahkan.

“Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO, bukan saja pemimpin besar UMNO yang lain bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya pelapis muda yang berpotensi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Perubahan baharu Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi signal jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat.

“Era parti terbesar dan memiliki ahli teramai yang mampu menjanjikan kemenangan telah berlalu, hakikatnya, peratusan ahli UMNO sebagai pengundi jauh lebih kecil daripada pengundi bukan parti,” katanya.

Ujarnya sebagai pemimpin muda dalam parti, beliau juga bersetuju dengan saranan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi mengundurkan diri dengan penuh rasa hormat dan rendah diri.

“Dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan.

“Parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2206
Kongsi :
Previous post Polis bersedia hadapi pasca-PRU15, tempoh pembentukan kerajaan – KPN
Next post Kejayaan PN umpama rakyat ‘dahaga’ pemimpin bersih
Ubah saiz-+=