Sorting by

×

PRU15: Pengundi balik kampung, tiket bas ‘laku keras’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 16 November – Penjualan tiket bas ekspres dari Melaka Sentral ke beberapa destinasi terutamanya Pantai Timur dan Utara habis terjual, susulan orang ramai mahu pulang ke kampung bagi menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Penyelia Pentadbiran Melaka Sentral, Wan Mohd Firdaous Wan Ngah berkata, penjualan tiket ke dua destinasi itu sudah habis terjual awal minggu ini dan kebanyakannya dibuat melalui pembelian secara dalam talian.

Katanya, turut habis terjual perjalanan dari Melaka Sentral ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

“Bagi perjalanan ke Pantai Timur dan Utara bermula 14 November sehingga 18 November, tiket memang sudah habis terjual.

“Tetapi untuk perjalanan ke selatan iaitu Johor, buat waktu ini masih ada tetapi tidak banyak malah difahamkan buat waktu ini tiada bas tambahan,” katanya.

photo1668580225
Penyelia Pentadbiran Melaka Sentral, Wan Mohd Firdaous Wan Ngah. Foto: MR. AZLI

Menurutnya, pihak pengurusan Melaka Sentral turut menjangkakan akan berlaku kesesakan menjelang hari terakhir sebelum PRU15, apabila penumpang akan membanjiri terminal itu untuk menaiki bas, pulang ke kampung.

Sementara itu, pelajar universiti Nur Aziah Ahmad, 22, berkata, dia lega kerana dapat membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bagi menunaikan tanggungjawab kali pertama sebagai rakyat Malaysia.

“Sebenarnya saya memilih untuk balik esok tetapi disebabkan tiket sudah tiada, jadi terpaksa pulang lebih awal. Tidak sangka tiket akan habis cepat.

“Kebiasaan tiket bas ekspress ini akan laku pada hari raya atau cuti panjang sahaja tetapi tidak sangka untuk PRU15 pun, habis terjual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2343
Kongsi :
Previous post Majikan swasta digesa beri pelepasan cuti am pada Jumaat, Sabtu ini
Next post Mohd Ridhwan ganda gerak kerja pada pecutan terakhir
Ubah saiz-+=