PRU15: Penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman esok
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang diadakan semula secara serentak esok.
PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Tioman.
Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi, masing-masing di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Dis.
Calon-calon yang sah dinamakan bagi PRU15 di kedua-dua kawasan itu sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi, untuk menentukan giliran pada kertas undi.
Calon-calon baharu yang ingin bertanding pula perlu menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus serta oleh calon atau penyokong atau pencadangnya esok.
Karupaiya, 69, penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dimasukkan ke Hospital Kulim pada 14 Nov, selepas rebah ketika berkempen akibat serangan jantung dan meninggal dunia pada 2.27 petang 16 Nov.
Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15 Sabtu lepas.
Sementara itu, Md Yunus, 61, Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15 di Hospital Rompin menyebabkan SPR Pahang memaklumkan proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan.
PRU15 bagi DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN).
PRU15 Parlimen Padang Serai akan menggunakan 46 pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi (saluran) dan satu pusat mengundi awal yang mempunyai dua tempat mengundi (saluran).
Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk pilihan raya itu, yang mengandungi 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
DUN Tioman pula akan menggunakan 17 pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 tempat mengundi (saluran) dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi dua saluran.
Daftar pemilih yang digunakan bagi DUN berkenaan mengandungi 28,465 pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Keputusan PRU15 di peringkat Parlimen menyaksikan PH memenangi 82 daripada 220 kerusi yang ditandingi, diikuti PN dengan 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
Bagi DUN Pahang pula, PN menang 17 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, diikuti oleh BN dengan 16 kerusi, manakala PH memperoleh lapan kerusi.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.