PRU15: Mangsa banjir di PPS akan mengundi esok
PASIR MAS, 18 November – Banjir yang masih belum pulih di Kampung Kubang Kual menyebabkan lebih 100 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual, Rantau Panjang di sini terpaksa terus menetap di pusat itu sehingga hari pengundian esok.
Bagi Fazilah Othman, keadaan di dalam rumahnya masih digenangi air dan berselut menyebabkan beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk terus berada di PPS tersebut.
Bagaimanapun, Fazilah, 45, berkata beliau sekeluarga akan tetap melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kami di sini bernasib baik kerana sekolah yang dijadikan PPS ini turut dijadikan sebagai pusat mengundi dan memudahkan kami. Memang terasa agak pelik tetapi apakan daya, kami semua masih belum boleh pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Tiga anaknya yang merupakan pengundi kali pertama tiba dari Kuala Lumpur awal pagi tadi dan turut ditempatkan di PPS itu, katanya.
SK Kubang Kual itu mempunyai “fungsi bertindan” iaitu sebagai PPS dan juga pusat mengundi bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang.
Seorang lagi mangsa, Selamah Isa, 93, berkata beliau bersyukur kerana dipindahkan ke PPS itu oleh pihak berkuasa sejak Sabtu lepas kerana rumah yang didiaminya berada di kawasan rendah.
“Untuk proses mengundi esok, saya akan dibantu oleh anak-anak atau mana-mana pihak kerana sudah tidak mampu berjalan.
“Macam inilah bila sudah berusia. Hendak bergerak ke mana-manapun perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain,” katanya yang tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sejak 1960-an.
Tinjauan di sekolah itu mendapati kira-kira 40 anggota pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Sukarelawan Malaysia membersihkan kawasan itu sebagai persiapan menjadi pusat pengundian esok.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.