Sorting by

×

PRU15: Calon muda jadi tumpuan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

MELAKA, 5 Nov – Penampilan anak muda berusia antara 30-an hingga 40-an sebagai calon kerusi Parlimen di Melaka dilihat sebagai pertaruhan parti-parti politik untuk menarik kelompok berusia 18 hingga 39 tahun seramai 326,585 orang di negeri itu yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Parlimen Hang Tuah Jaya umpamanya menyaksikan keempat-empat calon dalam kelompok berkenaan membabitkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim, 33, daripada Pakatan Harapan (PH), Ketua UMNO Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, 36, daripada Barisan Nasional (BN), Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang yang juga peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, 40, daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan ahli perniagaan Mohd Azrudin Md Idris, 41, daripada Perikatan Nasional (PN).

“Tugas saya adalah menjadi penyambung bakti dan khidmat baik yang dibuat oleh rakan-rakan seperjuangan lain sebelum ini. Untuk itu, saya perlu bekerja keras dan cergas untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,” kata Adam Adli kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Bistari Ayer Keroh di sini hari ini.

Calon lain dalam kelompok berkenaan adalah Ketua Pemuda UMNO Masjid Tanah Abdul Hakim Abdul Wahid, 37, (BN) di Parlimen Masjid Tanah, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan, 37, (BN) dan Pengerusi Majlis Pimpinan GTA Melaka Muhammad Nazriq Abdul Rahman, 36, di Parlimen Alor Gajah serta peniaga kedai makan, Mohammad Shahril Mahmood, 40, calon Bebas di Parlimen Tangga Batu.

Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka Shafezah Abdul Wahab berkata agak menarik untuk melihat pertembungan calon-calon terutama berkaitan kempen.

Beliau berkata ini kerana setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing berdasarkan latar belakang mereka yang berbeza serta mempunyai pengaruh tersendiri di media sosial.

Hanya satu Parlimen menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu Tangga Batu yang melibatkan calon BN, PN, PH, GTA dan Bebas manakala lima Parlimen lain iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin masing-masing menyaksikan pertandingan empat penjuru.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4217
Kongsi :
Previous post Sembilan PDM BN di Jasin kembali beroperasi
Next post PRU15: 108 calon bebas bertanding, penyertaan tertinggi dalam sejarah
Ubah saiz-+=