Sorting by

×

PRU15: BN,PH masing-masing yakin bentuk kerajaan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini meluahkan keyakinan bahawa gabungan parti politik masing-masing mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN dapat memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya menerusi kiraan yang dilakukan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara.

“Setelah ditolak jangkaan pengundi tidak hadir sebanyak 20 peratus, insya-Allah BN masih mendahului gabungan parti-parti yang lain.

“BN mengharapkan dan berdoa mudah-mudahan kita akan dapat jumlah kerusi yang mencukupi bagi BN membentuk kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pengundian di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk, Perak hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pula yakin dengan peluang kemenangan PH pada pilihan raya kali ini.

Anwar yang juga calon Parlimen Tambun berkata keadaan semasa dengan semangat penyokong PRU15 seolah-olah melepasi situasi semasa PRU14 yang lepas.

“Kami telah melakukan yang terbaik dan amat yakin berdasarkan penilaian awal dan keghairahan pengundi yang ingin melihat perubahan pada negara, terutamanya dalam kalangan orang muda,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BN dan PH antara empat gabungan politik besar negara yang memasuki gelanggang PRU15 selain Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air (GTA).

Dijangka lebih 20 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada PRU15 hari ini bagi memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4281
Kongsi :
Previous post Rasa berdosa tak bawa emak pergi mengundi
Next post Lelaki ditahan bantu siasatan dera isteri
Ubah saiz-+=