PRU15: BN akan tampil 70 peratus muka baharu – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BAGAN DATUK, 16 Okt – Barisan Nasional (BN) akan menampilkan sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang akan dicalonkan terdiri daripada individu berkaliber, memiliki kelayakan akademik, selain berkomitmen tinggi membantu rakyat.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu, pihaknya juga akan cuba memenuhi permintaan agar 30 peratus daripada calon BN adalah golongan wanita.

Menurutnya walaupun mengakui keputusan itu sukar namun ia perlu dilakukan bagi memastikan rakyat dapat melihat bahawa BN melakukan perubahan bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Saya perlu berlaku adil dan selaku Presiden parti dan Pengerusi BN, perlu juga untuk saya kekalkan muka lama agar gandingan itu mantap dan seimbang,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan pemilihan calon sepenuhnya belum dimuktamadkan dan masih dalam penelitian kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya BN akan bertanding di 191 daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini dan buat pertama kali parti ‘Friends of BN’ turut akan diberi peluang bertanding atas tiket BN.

Friends of BN dianggotai Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Makkal Sakti dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1737
Kongsi :
Previous post Polis tahan lelaki dipercayai terlibat kes mayat wanita reput di Ipoh
Next post Lebih 40 pendaki gunung terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi
Ubah saiz-+=